Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Monday, July 31, 2006

PULANG

Musim cuti saifi ini ramai sahabat-sahabat pulang ke tanah air. Tahun ini ramai juga yang pulang. Saya sekeluarga mengambil keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia. Ada juga yang bertanya, "tak balikkah tahun ni?". Mungkin soalan ini sering ditanya oleh sahabat-sahabat kerana saya baru dikurniakan putera sulong Ahmad Akhfash. Lebih-lebih lagi Akhfash merupakan cucu dan cicik sulong dalam keluarga saya, jadi kebiasaannya keluarga akan teringin untuk melihat anak ini.

Memang benar keluarga saya teringin untuk berjumpa Akhfash, tapi hasrat dan keinginan ini dihalang oleh jarak antara kami. Memang boleh pulang ke Malaysia bagi mendekatkan jarak ini, tapi terdapat faktor-faktor yang menyebabkan jarak ini tidak dapat didekatkan. Insya-Allah jika diberikan rezeki saya sekeluarga akan pulang tahun hadapan untuk menghilangkan rindu Akhfash pada keluarga di Malaysia terutama datuk dan neneknya.

Bila disebut perkataan 'pulang', hati ini akan diselubungi dengan berbagai perasaan. Perasaan gembira kerana dapat bertemu semula keluarga setelah lama terpisah. Perasaan sedih kerana terpaksa meninggalkan bumi barakah, ardhul anbiya' yang di dalamnya penuh dengan mutiara-mutiara ilmu dan pengalaman. Perasaan takut kerana akan berhadapan dengan suasana yang sudah jauh dari nilai-nilai Islam dan diselubungi di dalamnya dengan pelbagai maksiat dan masalah moral. Perasaan gementar dan gelisah kerana diri ini mempunyai amanah dan tugas yang berat untuk mengembalikan segala akhlak-akhlak yang dibawa oleh baginda S.A.W ke dalam diri masyarakat Malaysia.

Pengalaman pulang ke Malaysia 2 tahun lalu telah banyak mengajar saya. Saya pulang ke Malaysia pada tahun 2004 selepas 2 tahun saya meninggalkan tanah air. Saya terkejut dengan perubahan yang berlaku di Malaysia. Perubahan ini bukan perubahan ke arah yang lebih positif, tapi perubahan ini ke arah negatif. Mungkin ramai yang tidak tahu atau mungkin tidak sedar, tapi hakikatnya inilah yang telah berlaku di negara kita. Keadaan ketika itu membuatkan saya merasakan betapa beratnya tugas yang perlu dilaksanakan.

Kini 2 tahun telah berlalu, diri ini masih lemah untuk berhadapan dengan keadaan di Malaysia 2 tahun lalu. Tambahan pula keadaan kini sudah berubah, tahun juga berubah. Malaysia bukan lagi seperti 2 tahun lalu. Masyarakat sudah lebih maju dari segenap aspek. Tapi malangnya masyarakat kita semakin mundur dalam memahami Islam, menghayatinya dan menjadikannya sebagai cara hidup. Ini membuatkan diri saya semakin gelisah dan gementar untuk berhadapan dengan realiti yang berada di Malaysia.

Walau bagaimanapun, saya tetap akan pulang ke Malaysia satu hari nanti. Justeru itu, saya perlu persiapkan diri sementara punya waktu. Buat sahabat-sahabat yang masih di sini, marilah bersama-sama saya. Dan bagi sahabat-sahabat yang telah pulang ke Malaysia, jalankanlah amanah dan tugas dengan baik. Moga satu hari nanti, kita akan bersama dalam mengembalikan dan menjadikan masyarakat Malaysia seperti zaman Rasulullah S.A.W dan zaman para sahabat R.A, atau paling tidak pun dapat menyerupai seperti zaman mereka.




0 comments: