
Khamis lalu saya dan juru foto Unit Penerbitan dan Perhubungan Awam MAIJ, Wak Dazar menghadiri sidang media "Pementasan Teater Imam Bukhari". Teater ini adalah anjuran Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Jabatan Mufti Johor. Ini merupakan julung kali teater mengenai tokoh ilmuan Islam dipentaskan di negeri Johor, bahkan mungkin juga yang pertama di Malaysia.
Menurut pengarah teater ini Encik Othman bin Haji Zainudin (gambar kiri), beliau telah menulis skrip teater Imam Bukhari lebih dari 18 tahun. Dalam tempoh itu jugalah beliau mencari pihak yang sanggup untuk menganjurkan teater ini. Dibawa skrip ini ke merata tempat tetapi ternyata tiada pihak yang sanggup menaja pementasannya. Alasan utama yang diberikan adalah teater seumpama ini tiada nilai komersial. Kebanyakan penaja hanya mementingkan material berbanding hasil baik daripada sesuatu pementasan yang ingin dihasilkan. Mungkin boleh dikatakan hampir semua penaja atau penerbit bersifat demikian.Saya amat kagum dengan kesungguhan Encik Othman dalam mencari pihak yang sanggup membeli dan mementaskan hasil tulisannya kepada masyarakat umum. 18 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Pastinya beliau telah melalui berbagai cabaran dan dugaan dalam tempoh itu. Dewasa ini masyarakat di Malaysia sudah tidak mengenali siapakah Imam Bukhari. Walaupun banyak buku telah ditulis dan diterbitkan mengenai tokoh ini tetapi hanya segelintir yang membacanya, bilangannya sangat sedikit. Justeru itu, pementasan teater Imam Bukhari ini wajar diberi liputan dan sambutan yang jitu daripada semua pihak.
Encik Othman Zainudin merupakan orang seni sanggup untuk memperjuangkan hasil karyanya selama 18 tahun. Adakah saya dan sahabat-sahabat yang digelar sebagai asatizah tidak mampu melakukan seumpama itu? Malah sepatutnya lebih daripada itu. Di dalam memahamkan masyarakat kepada Islam golongan asatizah perlu berada di barisan hadapan. Jangan biarkan orang politik di hadapan sedangkan kita hanya menyorok di belakang.
Wallahu a'lam.
Tambahan:
Saya amat kekurangan masa untuk bersama keluarga sekarang. Saya perlu membahagikan masa kepada empat: Islam, dakwah, keluarga dan kerja. Benarlah kata-kata as-Syahid Imam Hassan Al-Banna "الواجبات أكثر من الأوقات".
Tiga baris terakhir ayat di atas saya nukilkan daripada pesanan YB Dr. Dzulkefly Ahmad.















