Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Gangguan-gangguan yang kerap itu juga menyebabkan mereka berasa tertekan dan mengantuk pada keesokan hari sehingga sukar memberi tumpuan ketika di tempat kerja.
Hasil kajian tidur antarabangsa yang dijalankan oleh Johnson & Johnson dan Asia Pasific Paediatric Sleep Alliance (APPSA) akhir tahun lalu mendapati, di Malaysia, sebanyak 47 peratus atau hampir separuh daripada ibu-ibu yang terlibat dalam kajian ini tidak mempunyai rutin waktu tidur yang sama bagi kebanyakan malam.
Manakala, 45 peratus lagi berpendapat bahawa bayi mereka mempunyai masalah tidur dan 20 peratus ibu bapa melaporkan yang waktu untuk menidurkan bayi adalah sukar, serta hampir kesemua bayi dan kanak-kanak tidur bersama ibu bapa.
Justeru, Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Pakar Paru-Paru Kanak-Kanak Hospital Serdang, Dr. Norrashidah Abdul Wahab menekankan pentingnya rutin waktu tidur yang tetap bagi membantu kanak-kanak mengenali waktu malam dan menetapkan sebagai masa untuk badan mereka berehat dan tidur.
“Rutin waktu tidur yang tetap adalah penting untuk membiasakan bayi supaya berehat dan tidur. Selain itu, untuk memaksimumkan kebaikan tidur iaitu membantu pembesaran mereka dari segi perkembangan sosial, kognitif dan fizikal.
“Kekurangan amalan rutin waktu tidur dan tidur yang baik dalam jangka panjang akan menjejaskan daya ingatan, kebolehan belajar dan kesihatan,’’ katanya ketika pelancaran Moms for Baby Bedtime sempena Hari Ibu, baru-baru ini.
Melatih
Menurut Dr. Norrashidah, kebiasaan bayi baru lahir akan tidur selama 16 jam hingga 20 jam sehari.
“Apabila telah berusia dua hingga tiga bulan, tidurnya akan berkurangan antara 12 hingga 14 jam dan semakin usianya meningkat, maka waktu tidurnya akan terus berkurangan.
“Sehubungan itu, ibu bapa perlu melatih waktu tidur anak-anak supaya mereka mempunyai waktu yang tetap terutamanya pada malam hari,’’ katanya.
Tambah beliau, di Hospital Serdang, seseorang bayi yang tidak cukup tidur akan dirawat menggunakan kaedah Bears iaitu singkatan kepada bedtime (bila bayi tidur), excessive (bayi tidak cukup tidur, murung), awakening (sering terjaga dan lama untuk tidur kembali), regular bedtime (waktu tidur yang tetap) dan snoring (gejala yang biasa berlaku semasa kanak-kanak tidur).
“Penyebab-penyebab kepada tidak cukup tidur itu akan diteliti sebelum rawatan diberi kepada seseorang bayi dan kanak-kanak tersebut,’’ ujarnya.
Tambahnya, sebenarnya bayi yang kerap bangun untuk menyusu setiap sejam berada dalam fasa tidur walaupun boleh menggerakkan badan. Sebab itulah apabila dia mendapatkan apa yang dimahu, dengan segera dia akan tertidur. Tetapi yang memenatkan ialah ibu bapa yang bangun untuk menunaikan permintaannya,’’ katanya.
Sehubungan itu, sebagai membantu kepada permasalahan itu, Dr. Norrashidah mencadangkan supaya rutin 3-langkah waktu tidur yang telah dipraktikkan berjaya kepada anak kembarnya semasa bayi dahulu (kini berusia 17 tahun) digunapakai bagi mengatasi masalah kekerapan bangun daripada tidur dan sekali gus mengurangkan kepenatan untuk ibu bapa.
“Kaedahnya mudah iaitu mandian air suam atau mengelap bayi dengan kain lembap yang suam, kemudiannya dengan urutan lembut untuk merehatkan bayi dan diakhiri dengan aktiviti waktu tidur yang sunyi seperti menyanyi, bercerita atau bercakap dengan perlahan untuk memudahkannya untuk tidur.
“Mandikan dengan air suam selama lima minit. Gunakan losyen dan urutkan bayi selama dua minit. Mulakan dengan bahagian badan, tangan, kaki dan tapak kaki. Ia bukan sahaja merehatkan bayi tetapi tanda belaian kasih sayang seorang ibu setelah seharian meninggalkan bayi kerana bekerja,’’ ujarnya.
Bahkan Johnson & Johnson dengan sokongan daripada pakar pediatrik daripada APPSA, kata beliau, turut menunjukkan bahawa amalan rutin 3-langkah waktu tidur dengan rangkaian Bedtime Johnson’s Baby semasa mandi dan urut telah meningkatkan tidur bayi dengan keputusan yang menakjubkan.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Profesional, Johnson & Johnson Asia Pasifik, How Ti Hwei mengakui keberkesanan rutin itu memberitahu, hasil kajian klinikal tersebut menunjukkan bahawa bayi dan kanak-kanak yang menjalani rutin 3-langkah akan tidur 37 peratus lebih cepat, 49 peratus kurang terjaga dan 23 peratus tidur yang lama.
“Kajian ini juga menunjukkan keletihan ibu-ibu juga turun sebanyak 59 peratus,’’ katanya.
Menurut Ti Hwei, kajian yang dilakukan ini bukan sahaja melibatkan ibu-ibu di negara ini, malah 30,000 orang ibu di 17 buah negara termasuk Amerika Utara, United Kingdom dan Asia Pasifik yang mempunyai anak berusia dari 0 hingga 36 bulan.
Sehubungan itu, ibu-ibu yang inginkan bayi mereka mendapat tidur yang lena, sebaiknya amalkan rutin tersebut.
Dr. Norrashidah turut menyambung perbincangan mengenai bayi dan anak yang tidur sama bilik dengan ibu bapa.
Ini adalah keadaan biasa yang berlaku terutama bagi kanak-kanak di negara ini. Malah, laporan turut menunjukkan bahawa di kalangan negara Asia, sebanyak 86 peratus bayi tidur bersama ibu bapanya. Di Malaysia sahaja 84 peratus, manakala negara Barat (35 peratus).
Katanya, tidak salah bayi dan kanak-kanak tidur sebilik tetapi tidak sekatil dengan ibu bapa bagi mengelakkan jangkitan penyakit.
“Mereka digalakkan untuk menyediakan sebuah katil seperti babycoat atau katil kanak-kanak di sebelah,’’ menurutnya di akhir pertemuan.













