Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Thursday, April 29, 2010

Menulis, bukan mudah!

Munsyi Dewan, Cikgu Azhar Salleh sedang mengajar peserta "Tatabahasa"

Saya dan kawan-kawan baru sahaja selesai "Bengkel Penyuntingan Tesis Ke Buku" anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan. Bengkel ini telah berlangsung selama tiga hari. Banyak ilmu dan pengetahuan saya dapat di sini.

Bengkel ini dihadiri oleh 35 peserta. Kebanyakan mereka berkelulusan PhD. Pastinya apabila dikaitkan dengan tesis pemegangnya mesti sekurang-kurangnya memiliki sarjana. Namun kesarjanaan yang dimiliki tidak membuktikan keupayaan dalam menghasilkan penulisan berbentuk buku.

Dr. Hamedi Adnan merupakan satu-satunya di Malaysia yang memiliki PhD dalam Penerbitan (kalau tak silap saya).

Menulis buku tidak sama seperti tesis. Banyak kelainan antara keduanya. Beberapa pindaan perlu dilakukan dalam memindahkan tesis ke buku ilmiah. Gaya dan olahan penyampaian juga berbeza. Gaya penyampaian tesis sangat khusus. Maka pembacanya juga khusus. Sasaran pembaca tesis adalah golongan yang lebih tinggi keilmuannya daripada penulis. Manakala buku pula dibaca oleh masyarakat umum. Sasaran pembaca adalah golongan yang lebih rendah taraf keilmuannya berbanding penulis. Pengkhususan yang terdapat di tesis perlu diubah menjadi umum agar mudah difahami oleh setiap pembaca. Bahasa dan gaya penyampaian perlu lebih mudah untuk dibaca dan difaham. Inilah antara kesukaran terbesar yang dihadapi penulis.

Ternyata penulisan buku bukan perkara mudah. Ramai orang mampu bercakap, berpidato dan bersyarah tetapi belum tentu mereka berupaya untuk menulis. Kesimpulan saya selepas bengkel tiga hari ini, sesiapa yang pernah menghasilkan buku lebih mudah baginya untuk menulis tesis tetapi tidak mudah bagi mereka yang sudah memiliki tesis untuk menghasilkan buku. Anda setuju?

Apalah dosa bayi ini ?

Sudah lama tidak menulis. Banyak perkara yang telah, sedang dan akan difikirkan. Mungkin kerana hasil penulisan yang telah saya siapkan masih belum diterbitkan menyebabkan diri semakin malas menulis. Entah bila buku kedua saya "Hijrah Remaja - Menuju Kejayaan" akan dicetak. Namun itu bukan alasan untuk saya terus berhenti menulis di ruang waktu dan kesempatan yang ada.

Saya semakin runsing memikirkan bencana keruntuhan moral yang sedang berlaku di hadapan mata. Setiap hari pasti terpapar di dada akhbar kes rogol, zina, buang bayi dan macam-macam lagi. Saya tidak nampak media siar atau media cetak ingin meredakan bencana ini. Walaupun kes-kes sebegini sering dilaporkan untuk iktibar dan pengajaran kepada masyarakat umum agar mereka sentiasa mengambil langkah terbaik bagi mengelak ia berlaku. Namun adakah kes dan gejala seperti ini akan berkurang sekiranya di muka hadapan melaporkan masalah moral sedangkan di dalam atau di halaman tengahnya sering memaparkan gambar artis yang seakan-akan ingin mendedahkan 'segala-galanya'.

Semua pihak telah mengakui bahawa media merupakan antara penyebab utama dalam merangsang nafsu manusia. Bila nafsu ini dirangsang, pasti ia tidak dapat dikawal dengan baik sehingga mengakibatkan tindakan-tindakan 'aneh' berlaku. Ikut gadis ke tandas, majikan peluk dan raba staf, kejar gadis yang sedang menunggang motor kemudian langgar dan angkut ke tandas untuk dirogol (laporan Metro hari ini). Inilah antara tindakan 'aneh' yang berlaku akibat daripada nafsu yang terangsang dan dirangsang.

Banyak pihak telah dan sedang memikirkan masalah ini. Mengambil beberapa tindakan dan langkah bagi membendung dan meredakan bencana keruntuhan moral yang sudah sampai ke tahap kronik. Mengikut laporan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak tahun 2000 hingga Julai 2008, terdapat lebih 25 000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa. Secara purata, 2500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Dan jika diunjurkan lagi, kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat.

Ini menunjukkan betapa kroniknya masalah yang sedang berlaku. Hanya purata anak luar nikah yang didaftar menunjukkan ia berlaku pada setiap 17 minit 17 saat, bagaimana pula jika dicampurkan dengan anak luar nikah yang tidak didaftar? Mungkin anak luar nikah ini lahir pada setiap minit di tanah air tercinta kita, Malaysia. Masalah ini telah 'berbuah' dan 'gugur' ke tanah. Jangan hanya 'memetik buah' atau 'mencantas dahan' untuk menghapuskannya. Perlu ditebang 'pokok' dan dicabut 'akarnya' bagi menyelesaikannya.

Saya sedang mengumpul, menyelidik dan memproses buku ketiga. "لا تقربوا الزنى" JANGAN HAMPIRI ZINA menjadi keutamaan saya untuk diterbit dan diedarkan. Bukan untuk kepentingan peribadi, hanya melakukan yang terdaya bagi masyarakat yang kian dahagakan ilmu dan bimbingan. Buku ini akan diedarkan secara percuma. Saya amat harapkan sumbangan buah fikiran dan pandangan daripada kawan-kawan untuk menghasilkan buku ini. Doakan saya.

Saya amat harapkan ...