Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Saturday, August 01, 2009

Kabar Pertama Dari Malaysia

Alhamdulillah syukur saya ke hadrat Ilahi atas nikmatnya yang tak terhingga.

Hari ini genap seminggu saya sekeluarga menjejakkan kaki di tanah air tercinta "One Malaysia" setelah hampir 5 tahun tidak pulang. Hampir seminggu saya mencari peluang untuk menulis di blog ini. Internet di rumah dipotong tambahan diri yang tidak biasa dengan suasana di sini menyebabkan hasrat untuk mengupdate blog ditangguhkan. Kebetulan adik ke rumah membawa broadband membuka peluang pada saya untuk menulis pada waktu dan ketika ini.

Buat masa ini saya masih belum memohon apa-apa pekerjaan atau jawatan. Walaupun keadaan amat mendesak untuk saya cepat bekerja namun desakan ini belum mampu saya penuhi. Pulang ke Malaysia setelah bekeluarga mendesak saya agar cepat mencari sumber kewangan sendiri. Makan minum, lampin dan susu anak-anak perlu difikirkan.

Saya amat mengharapkan doa daripada kawan-kawan agar saya mendapat pekerjaan yang terbaik untuk diri dan agama tercinta.

Maaf kerana tidak dapat menulis panjang. Saya hanya mencuri kesempatan, bukan mempunyai atau memiliki kesempatan. Di sini saya tinggalkan alamat dan nombor telefon di Malaysia untuk dihubungi. Moga ukhuwah sesama kita akan kekal selamanya.

87, Jalan Padi Huma,
Bandar Baru Uda,
81200 Johor Bahru,
Johor,
Malaysia.

+60197556118

Saturday, July 11, 2009

Adab Penuntut Ilmu

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas nikmatNya kepada kita.

Setelah sekian lama Unit Mutazawijin Iskandariah tidak mengadakan Kelas Tafaqquh Fiddin. Esok (12 Julai 2009) Unit Tarbiah UMI sekali lagi akan mengembalikan semangat tafaqquh ahli dengan menganjurkan Kelas Pengajian Kitab I'anatu At-Tolibin (Feqh).

Kitab ini akan diajarkan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd. Naim bin Hussin. Mungkin Ustaz Naim kurang dikenali oleh pelajar-pelajar kita di sini tetapi beliau amat dikenali dikalangan pelajar-pelajar Malaysia di Syria. Pembelajaran dan pengajaran ilmu yang beliau sampaikan sangat hebat dan mampu memberi kesan yang jitu kepada hadirin yang mendengar.

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi bersama pembaca khususnya para pelajar tentang ADAB-ADAB PELAJAR atau dalam bahasa arabnya Adabu Al-Muta'allim. Mengetahui dan mempelajari adab adalah amat penting, malah adab ini perlu dipelajari sebelum ilmu-ilmu yang lain. Seorang murid kepada Imam Malik pernah ditanya, "apa yang engkau telah pelajari selama 20 tahun bersama Imam Malik?". Murid itu menjawab, "beliau mengajarkanku semua ilmu hanya selama 3 tahun, dan 17 tahun lagi beliau mengajarku mengenai SULUK (adab)".

Telah berkata seorang ulama' : (saya lupa namanya)

من حفظ على الآداب حفظ على السنن, ومن حفظ على السنن حفظ على الفرائض, ومن حفظ على الفرائض كتب له الايمان ومات عليه

"Siapa yang menjaga adab maka dia telah menjaga sunnah (amalan-amalan sunat). Dan siapa yang menjaga sunnah maka dia telah menjaga fardhu (amalan-amalan fardhu). Dan siapa yang menjaga fardhu maka akan dituliskan kepadanya keimanan dan dia akan dimatikan bersama-sama iman."

Imam Al-Ghazali telah menggariskan lapan Adabu Al-Mutallim di dalam kitabnya Bidayah Al-Hidayah:

Jika kamu seorang pelajar, maka adab pelajar bersama guru adalah :

1- Memulakan (perbicaraan atau pertemuan) dengan salam
2- Mengurangkan bercakap ketika bersama guru.
3- Tidak mengatakan apa yang tidak disoal (atau diminta) oleh gurunya.
4- Tidak bertanya sebelum meminta izin darinya.
5- Tidak berkata untuk menyanggah kata-katanya. Contohnya: "Telah berkata seseorang berbeza dengan apa yang kamu katakan". - maksudnya, jangan berkata mengenai pendapat, pandangan atau kata-kata yang berbeza daripada pendapat guru.
6- Tidak menunjukkan tentang perbezaan pendapat kamu dengannya. Sehingga menyangka yang kamu lebih betul daripada guru.
7- Tidak bercakap dengan orang lain (hadirin) ketika di majlisnya.
8- Tidak banyak bergerak (ke kiri dan ke kanan). Duduk diam dan tenang penuh beradab seperti ketika solat.
9- Tidak banyak bertanya kepadanya ketika guru letih atau penat.
10- Bangun (berdiri) ketika guru bangun.
11- Tidak mengajuk dengan kata-katanya dan soalan-soalannya.
12- Tidak bertanya ketika guru sedang berjalan kecuali setelah sampai di rumahnya (atau tempat yang dituju).
13- Tidak berburuk sangka dengan perbuatannya walaupun zahirnya salah disisi kita. Sesungguhnya guru itu lebih tahu apa yang beliau lakukan. Seperti yang berlaku antara nabi Musa dan nabi Khidir a.s.

Dalam konteks ahli UMI (pasangan berkahwin), saya ingin menambah adabu al-muta'allim agar ia mampu menjaga keharmonian suasana Kelas Tafaqquh;

- Tidak digalakkan membawa anak terutama anak yang belum mumaiiz.
- Jika ingin membawa anak, pastikan mereka tidak menganggu suasana pembelajaran. Mereka hanya duduk diam dan tidak bersuara.

Ramai ibu bapa kurang prihatin tentang perkara ini. Suasana kelas pengajian boleh terganggu dengan karenah anak-anak. Guru boleh hilang tumpuan mengajar. Pelajar juga akan hilang tumpuan menyebabkan mereka kurang faham apa yang diajarkan.

Moga kita semua dapat menghadiri majlis-majlis ilmu seperti ini. Jangan hanya cuba mencari alasan untuk tidak hadir. Tapi cubalah sedaya upaya untuk mencari jalan agar dapat hadir.

"Allahummaj'alna minal ulama il amilinal mukhlasin"
-----------------------------------------------------------------------------------------

Maklumat Kelas Tafaqquh Fiddin UMI (Musim Soifi)

Tarikh : 12 Julai 2009 (Ahad)
Waktu : 5.30 petang
Kitab : I'anatu At-Tolibin اعانـــة الطـــالبــين (Feqh)
Pengajar : Ustaz Mohd Naim bin Hussin


- Pengajian akan diadakan di Kediaman Pengajar
- Kitab Pengajian boleh didapati ke Maktabah Ustaz Yufrisan
- Anjuran Unit Tarbiah UMI 2009

Mempelajari ilmu pengubatan Islam adalah Fardu Kifayah dan ia dituntut supaya ada di kalangan kelompok masyarakat umat Islam mempelajarinya. Ilmu ini tidak boleh disimpan atau dirahsiakan. Adalah berdosa besar menyembunyikan ilmu sebagaimana di sebut oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya;

Mafhumnya: Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu, kemudian ia menyembunyikannya maka Allah akan rantai di Hari Kiamat nanti dengan rantai daripada api neraka.
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud)

ILMU PERUBATAN ISLAM :


Allah s.w.t. berfirman (Al-Quran: al-Isra': 82):

"Dan Kami turunkan daripada al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar
dan rahmat bagi orang yang beriman".

Dalam surah Fussilat:44 pula terdapat firman Allah:

"Katakanlah bagi mereka yang beriman, al-Quran itu adalah petunjuk dan
penawar bagi mereka yang beriman. Mereka yang tidak beriman, pada
telinga mereka ada sumbatan, sedangkan al-Quran itu sesuatu kegelapan
bagi mereka. Mereka ini adalah seperti orang yang dipanggil dari tempat
yang jauh".

Sesetengah Ahli Tafsir menerangkan perkataan "من" yang terdapat dalam surah di atas (al-Isra':82) bukan lit-tab'id, bererti bahawa al-Quran itu keseluruhannya adalah penawar, bukan sebahagian daripadanya sahaja. Al-Quran boleh digunakan untuk menangani sakit fizikal juga sakit yang berkaitan dengan hati, jiwa dan roh, seperti kejahilan, kesesatan dan sebagainya. Kesejahteraan fizikal berkait rapat dengan kesejahteraan hati. Mengenainya, Rasulullah S.A.W ada bersabda :
"Sesungguhnya pada jasad itu ada seketul daging, apabila sejahtera, maka sejahteralah seluruh jasad. Dan apabila rosak akan dia, maka rosaklah keseluruhan jasad, iaitu hati". (Muttafaq'alaih)

Menurut Ahmad Mahmud (1994:18), hal demikian tidak bererti bahawa al-Quran itu digunakan sebagai tangkal, ataupun azimat, kerana baginda Rasulullah S.A.W tidak berbuat demikian dan tidak menyuruhnya, bahkan baginda adakalanya melakukan rawatan dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan bahan-bahan semula jadi untuk merawat dirinya. Baginda menyuruh mereka yang sakit, yang terdiri daripada kaum keluarga juga para sahabat agar berbuat demikian.

Baginda juga melakukan rawatan bergantung kepada punca penyakit. Baginda bersabda:
"Sesungguhnya bagi setiap penyakit itu ada ubat. Maka apabila ubat itu serasi dengan penyakit, aia akan sembuh dengan izin Allah 'azza wajalla".

Menurut Muhammad Mahmud (1992:28-29), al-Quran, sama ada keseluruhannya ataupun sebahagian daripada ayatnya adalah setinggi-tinggi penawar dan ubat paling utama. Setiap huruf yang terkandung padanya merupakan penawar penyakit jiwa, melahirkan ketenangan, penawar sakit dalaman dan luaran dengan syarat adanya Iman terhadapa Allah, Pencipta segala yang wujud, yang menurunkan al-Quran. Allah memberitahu bahawa al-Quran itu diturunkan sebagai peringatan kepada manusia dan penawar bagi hati orang yang beriman (at-Taubah:30).

Dalam sebuah hadis daripada Ali bin Abi Talib r.a disebutkan tentang sabda Rasulullah S.A.W yang berbunyi :
"Sebaik-baik ubat itu adalah al-Quran"
(riwayat at-Tirmizi)

Sebuah hadis lain daripada Abu Said al-Khudri menyatakan adanya seorang lelaki yang telah datang menemui baginda Rasulullah S.A.W mengadu dadanya sakit. Baginda memberitahunya agar membaca al-Quran, keraa Allah S.W.T ada berfirman:
"Al-Quran itu adalah penawar penyakit yang ada dalam dada".

Sebuah hadis lain, iaitu hadis daripada Jabir bin Abdullah meyatakan bahawa
"Al-Fatihah itu adalah penawar semua penyakit kecuali maut".
(riwayat Ibnu Rahuwiyah daripada Ali r.a)

Pada suatu hari seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah S.A.W mengadu kedua matanya sakit, lalu baginda berkata kepadanya:
"Lihatlah pada mashaf al-Quran".

Allah S.W.T menjadikan manusia itu terdiri daripada tiga unsur utama, iaitu jasad, roh dan akal. Allah meniupkan roh, setelah janin dalam perut ibu cukup sifatnya (al-Hijr':29). Ketika itu janin tadi hidup. Gabungan daripada roh insaniah dan akal meletakkan maqaam manusia itu lebih mulia berbanding dengan makhluk lain di muka bumi ini, termasuk jin dan malaikat, membolehkan mereka menjadi khalifah (al-Baqarah:30) mentadbir muka bumi, dengan syarat mereka hendaklah beriman kepada Allah,. Andainya mereka tidak beriman, melanggar perintah Allah, maqam mereka adalah lebih hina daripada binatang (al-A'raf:38).

Seperti jasad, roh juga memerlukan penjagaan yang rapi untuk memperoleh kesejahteraan. Roh yang tidk sihat mencetuskan sakit yang berkaitan dengan roh ataupun hati, seperti takabbur, riak, tamak, sifat hasad dan sebagainya. Sakit yang berkaitan dengan roh akan melahirkan tingkah laku jahat manusia, menyebabkan mereka lebih berkecenderungan melakukan kejahatan. Sakit dalaman seperti ini merupakan ransangan utama yang akhirnya tercetus melalui perlakuan jasad. Kerana itulah dikatakan bahawa kesejahteraan roh memberi kesan pada kesejahteraan fizikal.

Roh adalah unsur Ilahi (Isra':85). Roh yang sakit perlu dirawat dengan penawar yang menepati Ar-Ruhiyyah asy-syar'iyyah yang melibatkan Iman. Menurut Riyad Muhammad Samahah dalam bukunya bertajuk Dalilu al-Mua'lijin bi al-Qurani al-Karim, sakit sperti ini paling sesuai dirawat menggunakan al-Quran, doa-doa dan sebagainya.

IKLAN :

TARIKH : 28 Jun 2009 / 5 Rejab 1430h

HARI : Ahad

MASA : 8.00 pagi - 3.00 petang (sesi rawatan selepas waktu ini)

TEMPAT : Dewan Zajlatul Abidah (Markaz DPMI)

PENGISI SEMINAR : Ustaz Tirmizi (anak murid Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din)


BAYARAN : LE 3 untuk Kertas Kerja

Maklumat Tambahan:
- Penyertaan Terbuka kepada ahli DPMI & UMI
- Pihak Penganjur tidak menyediakan makan tengahari (mungkin akan ada jualan makanan)
- Bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan, sila bawa 1 botol air mineral.
- Sebarang pertanyaan, sila rujuk Pengerusi DPMI di talian 0114733181

Anjuran:
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah (DPMI)

Monday, June 22, 2009

Rindu Terubat

Jam di tangan menunjukkan angka tujuh. Saya sudah terlambat untuk keluar rumah. Sudah lama saya merancang untuk ke 'Kawafir Mandub'. Biasanya saya hanya pergi bersendirian, tapi hari ini saya bersama isteri dan anak-anak. Kebetulan Akhfash juga ingin ke 'Kawafir' kerana sudah rimas dengan rambutnya.

Kami agak lama di 'Kawafir Mandub'. Setelah saya dan Akhfash selesai urusan di 'Kawafir' ini, pemilik 'Kawafir' sudi untuk mengimami solat maghrib untuk kami solat jamaah bersama. Inilah 'Kawafir' terbaik pernah saya jumpa. Urusan tanpa bayaran, hidangan disediakan, tandas percuma, dan solat berjamaah. Seusai solat, saya menelefon Baba Hamdi untuk ke rumahnya. Sejak beberapa hari kami merancang untuk menziarahi Puteri Sulong beliau "Nurin Hani'ah" (maaf kalo tersalah nama).

Kami masuk ke rumah Baba Hamdi Al-Hafiz dengan 'langkah kanan'. Kali ini saya berjumpa dengan seorang lagi pemilik 'Kawafir', AlMansuqie Barber. Majlis cukur rambut sedang berlangsung yang diketuai oleh Ustaz AlMansuqie. Majlis ini agak meriah, dihadiri oleh Photographer Helmi, Abi Hanin, YDP dan beberapa Exco BKMIP. Majlis berlangsung serentak perlawanan bola sepak antara Mesir dan Amerika.

Cukur Rambut Puteri Sulong Baba Hamdi

Cukur rambut bayi yang baru lahir amatlah digalakkan oleh Islam. Amalan ini mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Disunatkan mencukur rambut bayi sama ada lelaki atau perempuan pada hari ketujuh kelahiran. Ia dilakukan selepas disembelihkan aqiqah dan menyedekahkan emas atau perak mengikut berat rambut. Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W :

1."Daripada Samrah bin Jundub r.a telah berkata : Berkata Rasulullah S.A.W : ((Semua bayi tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih bagi pihaknya pada hari ketujuh, diberikan nama, dan dicukur kepalanya))."
- riwayat At-Tirmizi dan selainnya.

2.
"Daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata : Rasulullah S.A.W telah mengaqiqahkan untuk Hussin seekor kambing dan baginda bersabda : ((Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan sedekahkan mengikut berat rambutnya))."
- riwayat Al-Hakim.

Selesai Ustaz AlMansuqie 'Barber' mencukur rambut Hani'ah, kami dihidangkan Nasi Tomato enak masakan Baba Hamdi dan dayang-dayangnya. Kami menikmatinya sambil menyaksikan kekalahan teruk Mesir (3-0). Seusai makan, rombongan YDP BKMIP dan Exco bertolak pulang ke Kaherah. Saya, Isteri dan anak-anak agak lama di sana. Tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini untuk bersembang bersama Baba Hamdi yang terkenal dengan keramahan dan keceriaannya.

Kebetulan yang masih di sana adalah sahabat-sahabat se'usrah'. "Bila nak mula usrah?", mereka bertanya. "Entahla, tunggu Unit Tarbiah lancar", jawab saya. Sebenarlah 'usrah' UMI telah dirombak dan disusun semula tapi ramai yang belum tahu. Ukhuwah yang terjalin antara kami 'usrah' kumpulan 1 amat erat. Setiap kali berjumpa pasti ada saja mereka memanggil saya 'naqib'.

Beberapa minit selepas kami bersembang, Baba Amni muncul. Nak ambil duit peruntukan Futsal UMI katanya. Inilah pertemuan yang Allah tetapkan. Tanpa merancang dan temu janji, kami dipertemukan. Saya, Baba Hamdi, Ustaz AlMansuqie, Photographer Helmi, Abi Hanan, dan Baba Amni. Separuh ahli 'usrah' kami ditemukan oleh Allah setelah sekian lama berpisah. Hati yang sakit dan rindu kini terubat hanya dengan pertemuan ini.

Benarlah kata Saidina Abdullah bin Mas'ud - radiallahu anhuma - mafhumnya: "Sesungguhnya hati kita ini sakit. Bagaimana jika seorang demam (sakit) tidak makan selama tiga hari berturut-turut, pasti akan mati. Begitu jugalah hati. Jika tidak diisi ilmu selama tiga hari, ia akan mati".

Ukhuwah Islamiah terhasil daripada gabungan ilmu antara individu-individu yang ikhlas. Cukuplah jika pengisian 'usrah' hanya sekadar untuk memupuk ukhuwah sesama ahli. Moga kita semua terus istiqamah di dalam program-program tarbiah seperti 'USRAH'.

Wallahu A'lam...

Rujukan :
- Fathul Al-Hadi Al-Raqib Fi Adillah Fath Al-Qorib Al-Mujib oleh Syeikh Muhammad bin Qosim As-Syafie
- Al-Feqh Al-Manhaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie.


Ucapan Terima Kasih kepada:
1. Ustaz Zulfauzi
2. Ustaz Hamdi

Baca juga --> Adab Menyambut Kelahiran Dalam Islam


"Aiman, semalam aku tengok filem Spiderman...Hebat", kata Syamil. "Tapi Spiderman tak boleh mengalahkan 5 Power Rangers", balas Aiman. Syamil menjawab: "Spiderman boleh buat sarang labah-labah". Aiman terus membalas : "Power Rangers ada robot besar, dan boleh berubah bentuk".

Syamil tidak puas hati dengan kata-kata Aiman itu lantas terus berkata :"Kalo macam tu, mari kita tanya ayahku sape yang pandai hebat?". Apabila ayah Syamil menghampiri mereka, Syamil terus bertanya : "Ayah, Spiderman hebatkan?Boleh kalahkan orang jahat dan boleh keluarkan sarang labah-labah". "Tapi pakcik, Power Rangers lebih kuat dari Spiderman. Mereka boleh merubah bentuk dan ada robot besar untuk mengalahkan raksasa".

Ayah Syamil tertawa melihat gelagat dan soalan-soalan mereka. Kemudian dia dengan tenang menjawab : "Ya, dua-dua sama hebat. Tapi mereka itu cuma khayalan". "Jadi mereka tidak wujud ya ayah ??", Syamil bertanya. "Ya, kamu mahu ayah beritahu kamu seorang tokoh yang lebih hebat dan dia benar-benar wujud?", kata ayah Syamil.

"Dia betul-betul hebat ke pakcik? Boleh kalahkan penjahat?", tanya Aiman. Ayah Syamil dengan senyum menjawab : "Dia adalah Rasulullah S.A.W, baginda bukan saja hebat dan boleh mengalahkan penjahat. Malah boleh jadikan penjahat jadi baik, memaafkan mereka dan memberi mereka contoh teladan yang baik". "Wah, ini memang betul-betul hebat", Syamil dan Aiman kagum dengan kehebatan Rasulullah S.A.W.

Inilah antara perbualan kanak-kanak zaman sekarang. Mereka lebih mengkagumi orang lain, dan bukan Rasulullah S.A.W. Menjadikan penyanyi, pelakon, pelukis, penulis, menteri, atlet sebagai idola dan ikutan mereka. Kenapa ini yang mereka idolakan? Siapa yang salah sehingga anak-anak ini terpengaruh idola seperti ini?

Renungkan sabda Nabi Muhammad S.A.W :
"Didiklah anak kamu dengan tiga perkara : 1. Cinta nabi kamu, 2.Cinta ahli keluarganya, dan 3.Membaca al-Quran".

Ibu bapa zaman sekarang nampaknya tidak mendidik anak berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Mereka mengabaikan pendidikan rohani sewaktu kecil dan lebih mengutamakan pendidikan jasmani. Cukuplah sekadar memberi makan yang cukup, tempat tinggal yang selesa, pakaian yang cantik. Ada sesetengahnya pula merasakan bahawa pendidikan rohani ini hanya perlu ketika anak-anak sudah remaja dan meningkat dewasa. Tidak perlu dipupuk sejak mereka dilahirkan dan ketika mereka masih kecil.

Bayi yang baru lahir disunatkan bagi ayahnya untuk meng-azan-kan di telinga kanan dan meng-iqamat-kan di telinga kiri. Kenapa Islam mengajarkan begitu? Apa kepentingan sunnah ini? Antara hikmah dan pengajaran daripada sunnah ini adalah supaya telinga anak-anak yang baru lahir tidak tercemar dengan bunyi-bunyi yang tidak baik. Menghalang telinga mereka daripada bisikan syaitan. Hikmahnya juga, ia mengajarkan ibu bapa betapa pentingnya menjaga telinga anak-anak mereka daripada dicemari. Telinga ini bukan sahaja perlu dijaga ketika anak-anak baru dilahirkan, malah telinga dan pendengaran ini perlu terus dijaga sehingga mereka sendiri mampu untuk menjaganya.

Pendidikan akal dan rohani anak amat penting sejak mereka dilahirkan. Malah ulama' mengatakan ia bukan sahaja perlu sejak mereka dilahirkan bahkan sebelum mereka dilahirkan lagi. Bermula dari peribadi ibu bapa, hubungan mereka sebelum dan selepas pernikahan, juga ketika bayi dalam kandungan.

Apakah didikan awal untuk anak-anak? Berpandukan hadis di atas, maka semestinya itulah didikan pertama untuk mereka. Pertama, cinta kepada nabi. Kedua, cinta ahli keluarga nabi. Dan ketiga, mengajarkan mereka membaca dan memahami al-Quran. Pendidikan ini perlu dilakukan seawal usia sebelum mereka mempelajari yang lain.

Didikan dan pembelajaran di usia kecil atau kanak-kanak boleh memberikan kesan yang amat mendalam. Ketika usia ini, otak mereka lebih tajam, mempunyai daya ingatan yang kuat, dan semangat yang jitu. Ini telah dinyatakan oleh baginda Nabi S.A.W di dalam hadisnya :"Belajar di waktu kecil umpama mengukir di atas batu"
- riwayat Al-Baihaqi dan At-Tobrani di dalam al-Ausot

Memupuk rasa cinta Nabi dalam diri anak-anak mestilah melalui pengamalan sunnah Baginda S.A.W. Bukti cinta Nabi ialah dengan memperbanyakan selawat kepadanya dan mengamalkan sunnahnya. Mungkin sukar untuk mengajarkan kesemua sunnah Baginda, dan lebih sukar untuk mengamalkannya. Cukuplah sekadar mengajar dan mempraktikkan satu sunnah daripada terus meninggalkan kesemuanya.

Sunnah memulakan sesuatu dengan anggota kanan adalah yang paling mudah untuk diajarkan kepada anak. Malangnya sunnah sekecil ini pun kita tidak mampu mengamalkannya, apatah lagi untuk mengajarnya kepada anak. Mereka sering memulakan memakai kasut dan stokin dengan kaki kiri, melangkah masuk ke masjid dengan kaki kiri, memakai pakaian dengan anggota kiri dan juga pada perkara lain. Memang ia hanyalah sekadar sunnah dan bukan wajib untuk diamalkan tetapi sunnah ini amat disukai Nabi S.A.W.

"Sesungguhnya sentiasa Rasulullah S.A.W amat suka memulakan sebelah kanan pada bersucinya ketika baginda bersuci, dan pada menyikat (rambut) ketika baginda bersikat, dan pada memakai selipar (atau kasut) ketika baginda memakainya".
- riwayat Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi, Abu Daud, An-Nasaie, Imam Ahmad & Al-Baghawi.

Ajarkan anak-anak dengan sunnah nabi kerana ia mampu melahirkan rasa cinta kepada Baginda S.A.W. Apabila ia lahir, seluruh anggota mereka akan bertindak berteraskan cinta ini. Pupukkan cinta nabi dalam sanubari anak kita. Semoga cinta ini mampu mengembalikan kesatuan umat Islam di seluruh dunia.

Wallu A'lam...

Baca juga --> Peranan suami dalam mendidik anak

Rujukan : Tabiyah Al-Aulad Fi Al-Islam oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan & As-Syamail Al-Muhammadiyyah oleh Imam Tirmizi

Di tengah kekalutan yang berlaku sekarang ini di negara kita, marilah sama-sama kita mengimbas Prinsip Keenam yang telah ditetapkan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna di bawah Rukun Bai'ah Pertama (Al-Fahmu) dan penerangannya :

Pandangan (kata-kata) setiap orang boleh diterima dan ditolak kecuali Nabi S.A.W yang maksum. Setiap apa yang datang daripada Salafussalih, yang selari dengan kitab dan sunnah adalah diterima. Jika tidak maka Kitab dan Sunnah adalah lebih utama untuk diikuti. Kita tidak menyarankan sebaran kecaman kepada peribadi tertentu pada masalah yang diperselisihkan. Terserah kepada niat mereka, apa yang mereka lakukan telah pun berlalu.

Pada Prinsip Keenam ini Imam Al-Banna telah menetapkan beberapa perkara yang boleh menjamin seseorang itu konsisten pada jalan yang lurus tanpa berlebih-lebihan dan cuai, tidak berat sebelah, tidak memandang keji dan jauh dari sebarang permusuhan serta membuat serangan.

Beliau menjelaskan bahawa tiada seorang pun yang maksum selain daripada Rasulullah S.A.W, menegaskan tentang pendirian kita terhadap apa yang datang dari para Salaf R.A, dan perlunya beradab dengan para ulama'.

Tiada Yang Maksum Selain Rasulullah.
Hanya Rasulullah S.A.W yang maksum kerana Baginda adalah penunjuk ke jalan yang lurus yang disokong oleh wahyu.

Allah S.W.T berfirman :Dan tidak ia bercakap menurut hawa nafsu semata-mata. Dia tidak bercakap melainkan mengikut wahyu yang diwahyukan.
(Surah an-Najm : Ayat 3 & 4)

Dengan itulah Allah menetapkan hanya kepadanyalah (Rasulullah) seorang itu sepatutnya taat serta mengikuti segala apa suruhannya dan menjauhi laranganya.

Allah berfirman lagi :
... dan apa yang datang dari Rasulullah maka terimalah ia dan apa yang ditegah olehnya maka tinggalkanlah ia ...
(Surah Al-Hasyr : Ayat 7)

Manakala yang selain daripada Rasulullah S.A.W, maka contohnya di kalangan ulama', adakalanya mereka tersilap dan adakalanya betul, meskipun kita mengakui ketinggian dan kemuliaan mereka. Ini semua tidak menjadi satu kehinaan kepada mereka kerana Allah tidak menjamin sesiapa pun maksum selain daripada Rasulullah S.A.W dan itu semua adalah sunnatullah.

Inilah satu hakikat yang diharapkan ia dapat difahami dengan jelas di hati kaum muslimin dan inilah satu hakikat yang telah ditunjukkan oleh para ulama'. Imam Malik pernah berkata :
"Setiap manusia itu pendapatnya kemungkinan diterima dan ditolak, kecuali Rasulullah S.A.W."

Pendirian Kita Terhadap Apa Yang Datang Daripada Para Salaf.
Segala apa yang datang daripada para salaf, dari kalangan para sahabat, tabi'in dan juga pengikut tabi'in yang meliputi kata-kata, perbuatan dan hukum hakamnya, hendak berdasarkan kitab Allah dan sunnah Rasul yang dibentangkan di hadapan kita, kerana keduanya adalah sumber yang maksum bagi hukum-hakam yang tidak boleh sesuatu pun yang lain melangkauinya.

Allah berfirman :Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasulnya dan bertaqwalah kepada Allah ...
(Surah al-Hujurat : Ayat 1)

Sekiranya kesemua itu sejajar dengan kata-kata dan hukum-hakam yang ditunjukkan oleh kitab Allah dan Rasulnya, kita menerimanya dengan redha dan penuh rasa hormat.

Sekiranya suatu masalah itu samar dan tidak jelas, maka ia berijtihad. Sekiranya tidak bertepatan, kemudian nyata hukum-hakam dari kitab Allah dan sunnah, maka sewajibnya ke atas muslim mengambil hukum berdasarkan kitab dan sunnah Rasulullah S.A.W, kerana jelas keduanya adalah adalah maksum dan lebih utama dari selainnya.

Sesungguhnya telah mutawatir kata-kata ulama' berkaitan maksud ini. Abu Hanifah berkata :
"Apabila aku mengatakan suatu perkara yang bersalahan dengan kitab Allah, maka tinggalkanlah pandanganku dan terimalah dari kitab Allah. "
Dikatakan :
"Jika bersalahan dengan kata-kata Rasulullah S.A.W, maka terimalah kata-kata Rasulullah dan tinggalkan pandanganku."

Imam Syafi'e pernah berkata :
"Jika kamu mendapati dalam kitabku suatu yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah S.A.W maka ambillah sunnah Rasul dan tinggalkan apa yang aku katakan." (Fath Al-Majid)

Kata-kata para ulama' berkaitan perkara ini sangat banyak. Kata-kata ini diandaikan menyalahi hanya berdasarkan dalil yang jelas.

Tetapi sekirannya hadis itu tidak sampai kepada emreka atau tidak thabit datangnya daripada Rasul disisi mereka atau thabit daripada Rasulullah S.A.W tetapi bertentangan dengan dalil yang lain atau dikhususkan dengan dalil lain atau sebagainya maka di ketika itu dibolehkan berijtihad. (Fath Al-Majid).

Beradab Dengan Ulama'.
Para ulama' adalah pewaris Nabi. Setiap umat, para ulama'nya adalah yang paling jahat di kalangan mereka, melainkan umat Nabi Muhammad, para ulama'nya, adalah yang paling baik di kalangan mereka. Justeru, kita wajib menghormati mereka dan beradab dengannya. Imam Al-Banna sepenuh upayanya menetapkan perkara ini para prinsip keenam ini.

Walaupun beliau menekankan bahawa perlunya kita mengutamakan al-Kitab dan al-Sunnah berbanding yang selainnya, beliau telah memberi peringatan bahawa perkara ini tidak mengharuskan kita mencerca, menghina serta menuduh para ulama' dengan pelbagai tohmahan.

Kita tidak mencerca dan mengecam terhadap individu tertentu -pada apa yang mereka perselisihkan- kita serahkan terhadap apa yang mereka niatkan, dan telah tertunai apa yang mereka telah kemukakan.

Justeru, perselisihan pandangan pada masalah ijtihadiyyah menurut fiqh Islam tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mencerca, merendah-rendahkan imej mereka dan sangsi terhadap apa tersemat di hati mereka.

Kewajiban kita terhadap apa yang kita perselisihkan ialah menjelaskan yang paling rajih (yang lebih jelas) dan tepat, dengan penuh beradab serta rasa hormat tanpa mencerca orang lain.

Inilah dia adab Islam dan neraca yang adil, yang dengannya hati manusia boleh menjadi jinak dan menjernihkan jiwa. Sementara bertengkar, mencerca dan menghina serta meragui niat-niat mereka akan membawa kepada perpecahan dan permusuhan. Ini bukanlah dari agama Islam.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Kesimpulan aKHFasH.CoM : Meskipun seseorang itu bergelar ulama', tidak mustahil untuk ulama' itu melakukan kesilapan dalam menuturkan kata-kata atau memberikan pandangan. Yang maksum (terpelihara daripada kesalahan) hanyalah baginda Rasulullah S.A.W. Sentiasalah bersangka baik kepada mereka. Jangan mencaci, mencerca atau menghina mereka !!!

Moga Allah memberi kita hidayah dan inayahNya serta menjaga kesatuan Umat Islam.

Rujukan : Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta'alim oleh Muhammad Abdulullah Al-Khatib

FILEM 'Perempuan Berkalung Sorban (PBS)' menggamit kontroversi. Filem ini dinilai telah menyakiti umat Islam dan kalangan pesantren atau pondok-pondok agama. Imam Besar Masjid Istiqlal Indonesia Ustaz Ali Mustafa Yaqub mencadangkan agar filem sutradara Hanung Bramantyo ini diboikot. "Saya malah menganjurkan tidak usah nonton aja. Selesai. Kerana memang filem ini akan dapat menimbulkan salah paham terhadap Islam dan terhadap pesantren." kata Ali Mustafa Yaqub.

Tidak hanya memboikot, Ali Mustafa juga meminta filem itu ditarik sementara dari peredaran. Bagi Ustaz Ali Mustafa Yakub yang juga menjadi Wakil Ketua Komisi Fatwa Majelis Ulama Indonesia (MUI), ada dua hal yang menyakitkan umat Islam dalam filem itu.

Pertama, pencitraan Islam yang sangat buruk. Seolah-olah Islam mengajarkan yang tidak sesuai perkembangan zaman.

Kedua, penggambaran salah tentang pesantren. "Pencitraan tentang pesantren sangat disayangkan sekali, bahkan saya berani mengatakan itu bukan hanya merusak citra saja tapi memfitnah itu," kata pemimpin Pondok Pesantren Daarus Sunna tersebut. Tidak hanya memboikot, Ali Mustafa juga meminta filem itu ditarik sementara dari peredaran.

Sebelum ini di Malaysia dikejutkan dengan filem 'Gubra' terbitan Yasmin Ahmad. Gubra yang dimulai lafaz 'Bismillahir Rahmanir Rahim' dan paparan pemikiran 'pluralisme & liberisme' secara halus dan terancang. Ditonjolkan watak seorang lelaki (Bilal) yang baru masuk Islam, memegang anjing dalam perjalanan menuju surau, aksi seks diiringi suara azan Subuh, wanita mencabut bulu dada seorang lelaki Cina asing, bercakap atas katil jadi bualan biasa, kempen murtad secara halus antara lelaki Islam dengan lelaki Cina diselangi aksi seks dengan bunyi azan lagi, menunjukkan konsep semua agama sama (pluralisme) daan sebagainya.



Filem PBS lebih parah isinya dalam memberi gambaran buruk terhadap Islam. PBS, wataknya dilakonkan oleh pelakon 'Bawang Putih' menceritakan bagaimana Anissa anak seorang kiyai disebuah pesantren (pondok) didiskriminasikan begitu dahsyat oleh guru-guru dipesantren, termasuk bapanya sendiri, yang mempunyai fahaman sempit dan keras dalam agama. Contohnya, Anissa dipaksa berkahwin dengan lelaki yang ditentukan oleh bapanya sendiri sehingga lelaki itu menzaliminya setelah menjadi isteri.

Dia dan pelajar-pelajar pesantren tidak dibenarkan keluar ke kedai sedikitpun melainkan ada lelaki yang menemani. Buku-buku dari selain kitab-kitab pesantren seperti novel, cerita dan sebagainya tidak dibenarkan langsung dibawa masuk ke pesantren Al-Huda tersebut... Suasana tekanan digambarkan dirasai oleh pelajar-pelajar wanita dipesantren itu sehingga ada yang melarikan diri. Buku-buku dari luar itu akhirnya dirampas dan dibakar dengan iringan takbir. Berkarya untuk menulis pun dianggap ancaman zaman moden yang merbahaya bagi pelajar dan sebagainya.

Wanita anak kiyai inilah digambarkan sebagai ‘pejuang hak asasi wanita’ dalam mempertahankan hak-hak mereka yang dicabuli oleh kiyai-kiyai dan guru-guru berfikiran sempit. Dia bersusah payah ‘menyeludup’ buku-buku bacaan dari luar untuk pelajar-pelajar perempuan yang ingin membaca sehingga dimarahi pihak pentadbiran pesantren. Dia yang merasai tekanan untuk perjuangkan kebebasan dan keterbukaan ini diuji pula dengan kematian suaminya kedua setelah bercerai dengan suami pertama.

Akhirnya perjuangan yang didokong oleh pelajar-pelajar perempuan di pesantren itu berjaya melenyapkan pemikiran sempit kiyai dan guru-guru lain. Di akhir filem, digambarkan wanita ini sedang menunggang kuda dipesisir pantai bersama anaknya.. yang satu ketika dahulu menunggang kuda pun diharamkan oleh bapanya (kiyai)... dengan penampilan mengikat serban berwarna merah dileher. Serban merah itupun dicabut dari lehernya dan dibuang ketanah. Jelas, imej agama yang sempit itu disimbolkan kepada ‘serban’ yang dirungkai dari lehernya.

Filem ini ditentang oleh sebahagian besar pertubuhan-pertubuhan Islam dan Majlis Ulama’ Indonesia (MUI) kerana jelas penyelewengannya. Samada filem ini sudah beredar di Malaysia, tak tahulah! Dan kita kena jaga-jaga, kerana menegak kebenaran dan menyekat kebatilan adalah dituntut agama tanpa batasan negara!

Disalin daripada : Ibnu Hasyim

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Kesimpulan aKHFasH.CoM : Sebenarnya banyak lagi filem-filem atau drama-drama yang telah menghina atau memperkecilkan Islam. Filem PBS ini hanyalah salah satu daripadanya. Kita (rakyat Malaysia) mungkin kurang merasai kesan buruk yang ditonjolkan dalam filem ini kerana ia memperkecilkan Pasantren. Apa perasaan kita apabila SEKOLAH AGAMA dihina atau diperkecilkan melalui FILEM ???

Pengajaran : Jangan mudah terkesan dengan pengaruh negatif yang dibawa oleh FILEM atau DRAMA.

Sila Baca -> Ulasan Ringkas : Perempuan Berkalung Sorban, di Kalami

p/s : Saya hanya menyalin artikel ini daripada Ibnu Hasyim. Pendapat-pendapat yang menyatakan bahawa filem PBS ini menghina Islam adalah daripada ulama'-ulama' Indonesia seperti nama yang tertera di atas.

Wallahu A'lam...

Tuesday, June 16, 2009

Perginya Para Ulama' - rahimahumullah

Sepanjang minggu ini saja saya telah menerima beberapa berita kematian orang yang saya kenal. Berita kematian bukanlah suatu perkara yang pelik kerana setiap hari pasti ada saja kematian. Hanya berita seperti ini jarang saya terima terutama melibatkan kematian orang yang saya kenal.

8 Jun 2009, saya menerima satu berita yang mengejutkan melalui status YM kawan iaitu berita kematian sahabat rapat saya, Allahyarham Ustaz Wan Mohd Salimi Wan Sulong. Sejurus melihat status itu, saya terus bertanyakan kawan tentang kesahihan berita tersebut. Ternyata ia memang benar. Allahyarham merupakan seorang Pecinta Ilmu Allah S.W.T. Malah saya menjangkakan bahawa Allahyarham mampu menjadi seorang tokoh ulama' negeri Terengganu di masa hadapan. Ternyata Allah lebih sayangkan beliau dan ingin menjemputnya untuk berada lebih dekat di sisi. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak yang masih kecil, antara 2 bulan hingga 4 tahun. Semoga Allah memberi ketabahan dan kekuatan kepada isteri dan anak-anak Allahyarham.

10 Jun 2009, saya menerima satu berita kemalangan. Kemalangan ini melibatkan 5 orang daripada Pelajar Perubatan Kaherah Mesir. Kemalangan ini telah maragut satu nyawa, Saudara Muhammad Ammar Zulkifli. Seingat saya, ini merupakan kemalangan jalanraya yang paling teruk pernah saya dengar melibatkan pelajar Malaysia di Mesir sepanjang 7 tahun saya berada di sini. Semoga Allah menempatkan Allahyarham Muhammad Ammar bersama para syuhada' dan solihin.

13 Jun 2009, tarikh ini pasti akan diingati oleh seluruh umat Islam terutama pejuang agama Allah S.W.T. Tarikh ini menyaksikan seluruh dunia Islam menangisi pemergian seorang tokoh Ulama' Haraki Professional, Syeikh Fathi Yakan. Beliau merupakan seorang tokoh pelopor yang telah membawa perubahan besar dalam dunia perjuangan Islam. Allahyarham juga merupakan seorang penulis Islam terkenal. Antara buku karangan beliau yang telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa ماذا يعني انتمائي للاسلام (Apa Erti Saya Menganut Agama Islam), مشكلات الدعوة والداعية (Masalah Dakwah dan Pendakwah), ابجديات التصور الحركي للعمل الاسلامي (Persepsi Dinamik Dalam Kerja-Kerja Islam), dan سفينة النجاح (Bahtera Penyelamat). Pemergian Syeikh Fathi Yakan merupakan satu kehilangan yang besar pada dunia Islam. Kehilangan ini pasti sukar dicari ganti. Moga-moga Allah merahmati beliau dan memberi kesabaran kepada ahli keluarga beliau.

Pemergian seseorang merupakan lumrah dan fitrah kehidupan. كلّ نفس ذائقة الموت Setiap yang bernyawa pasti akan menghadapi kematian, dan setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Ingatlah bahawa kewafatan ulama' adalah cara Allah mencabut ilmuNya daripada manusia. Dan kewafatan ini merupakan satu daripada tanda-tanda kiamat. Perkara ini telah disebut oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis baginda :

Daripada Abdulullah bin Amru bin Al-'As telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan menyentapnya (menariknya) daripada dada hambaNya. Akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan dimatikannya para ulama'. Sehinggalah jika tiada lagi orang alim maka manusia mengangkat ketua-ketua yang jahil (menjadi pemimpin). Mereka (pemimpin jahil) itu ditanya dan mereka memberi fatwa tanpa ilmu, maka (fatwa itu) sesat dan menyesatkan.

- hadis riwayat Imam Bukhari

Moga setiap berita kematian yang kita terima mampu mengingatkan dan mempersiapkan diri kita untuk menghadapi saat kematian. Ketahuilah bahawa orang yang paling bijak adalah mereka yang sentiasa mengingati mati dan mempersiapkan diri untuk menghadapinya - AlHadis.

Wallahu A'lam.