Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Di tengah kekalutan yang berlaku sekarang ini di negara kita, marilah sama-sama kita mengimbas Prinsip Keenam yang telah ditetapkan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna di bawah Rukun Bai'ah Pertama (Al-Fahmu) dan penerangannya :

Pandangan (kata-kata) setiap orang boleh diterima dan ditolak kecuali Nabi S.A.W yang maksum. Setiap apa yang datang daripada Salafussalih, yang selari dengan kitab dan sunnah adalah diterima. Jika tidak maka Kitab dan Sunnah adalah lebih utama untuk diikuti. Kita tidak menyarankan sebaran kecaman kepada peribadi tertentu pada masalah yang diperselisihkan. Terserah kepada niat mereka, apa yang mereka lakukan telah pun berlalu.

Pada Prinsip Keenam ini Imam Al-Banna telah menetapkan beberapa perkara yang boleh menjamin seseorang itu konsisten pada jalan yang lurus tanpa berlebih-lebihan dan cuai, tidak berat sebelah, tidak memandang keji dan jauh dari sebarang permusuhan serta membuat serangan.

Beliau menjelaskan bahawa tiada seorang pun yang maksum selain daripada Rasulullah S.A.W, menegaskan tentang pendirian kita terhadap apa yang datang dari para Salaf R.A, dan perlunya beradab dengan para ulama'.

Tiada Yang Maksum Selain Rasulullah.
Hanya Rasulullah S.A.W yang maksum kerana Baginda adalah penunjuk ke jalan yang lurus yang disokong oleh wahyu.

Allah S.W.T berfirman :Dan tidak ia bercakap menurut hawa nafsu semata-mata. Dia tidak bercakap melainkan mengikut wahyu yang diwahyukan.
(Surah an-Najm : Ayat 3 & 4)

Dengan itulah Allah menetapkan hanya kepadanyalah (Rasulullah) seorang itu sepatutnya taat serta mengikuti segala apa suruhannya dan menjauhi laranganya.

Allah berfirman lagi :
... dan apa yang datang dari Rasulullah maka terimalah ia dan apa yang ditegah olehnya maka tinggalkanlah ia ...
(Surah Al-Hasyr : Ayat 7)

Manakala yang selain daripada Rasulullah S.A.W, maka contohnya di kalangan ulama', adakalanya mereka tersilap dan adakalanya betul, meskipun kita mengakui ketinggian dan kemuliaan mereka. Ini semua tidak menjadi satu kehinaan kepada mereka kerana Allah tidak menjamin sesiapa pun maksum selain daripada Rasulullah S.A.W dan itu semua adalah sunnatullah.

Inilah satu hakikat yang diharapkan ia dapat difahami dengan jelas di hati kaum muslimin dan inilah satu hakikat yang telah ditunjukkan oleh para ulama'. Imam Malik pernah berkata :
"Setiap manusia itu pendapatnya kemungkinan diterima dan ditolak, kecuali Rasulullah S.A.W."

Pendirian Kita Terhadap Apa Yang Datang Daripada Para Salaf.
Segala apa yang datang daripada para salaf, dari kalangan para sahabat, tabi'in dan juga pengikut tabi'in yang meliputi kata-kata, perbuatan dan hukum hakamnya, hendak berdasarkan kitab Allah dan sunnah Rasul yang dibentangkan di hadapan kita, kerana keduanya adalah sumber yang maksum bagi hukum-hakam yang tidak boleh sesuatu pun yang lain melangkauinya.

Allah berfirman :Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasulnya dan bertaqwalah kepada Allah ...
(Surah al-Hujurat : Ayat 1)

Sekiranya kesemua itu sejajar dengan kata-kata dan hukum-hakam yang ditunjukkan oleh kitab Allah dan Rasulnya, kita menerimanya dengan redha dan penuh rasa hormat.

Sekiranya suatu masalah itu samar dan tidak jelas, maka ia berijtihad. Sekiranya tidak bertepatan, kemudian nyata hukum-hakam dari kitab Allah dan sunnah, maka sewajibnya ke atas muslim mengambil hukum berdasarkan kitab dan sunnah Rasulullah S.A.W, kerana jelas keduanya adalah adalah maksum dan lebih utama dari selainnya.

Sesungguhnya telah mutawatir kata-kata ulama' berkaitan maksud ini. Abu Hanifah berkata :
"Apabila aku mengatakan suatu perkara yang bersalahan dengan kitab Allah, maka tinggalkanlah pandanganku dan terimalah dari kitab Allah. "
Dikatakan :
"Jika bersalahan dengan kata-kata Rasulullah S.A.W, maka terimalah kata-kata Rasulullah dan tinggalkan pandanganku."

Imam Syafi'e pernah berkata :
"Jika kamu mendapati dalam kitabku suatu yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah S.A.W maka ambillah sunnah Rasul dan tinggalkan apa yang aku katakan." (Fath Al-Majid)

Kata-kata para ulama' berkaitan perkara ini sangat banyak. Kata-kata ini diandaikan menyalahi hanya berdasarkan dalil yang jelas.

Tetapi sekirannya hadis itu tidak sampai kepada emreka atau tidak thabit datangnya daripada Rasul disisi mereka atau thabit daripada Rasulullah S.A.W tetapi bertentangan dengan dalil yang lain atau dikhususkan dengan dalil lain atau sebagainya maka di ketika itu dibolehkan berijtihad. (Fath Al-Majid).

Beradab Dengan Ulama'.
Para ulama' adalah pewaris Nabi. Setiap umat, para ulama'nya adalah yang paling jahat di kalangan mereka, melainkan umat Nabi Muhammad, para ulama'nya, adalah yang paling baik di kalangan mereka. Justeru, kita wajib menghormati mereka dan beradab dengannya. Imam Al-Banna sepenuh upayanya menetapkan perkara ini para prinsip keenam ini.

Walaupun beliau menekankan bahawa perlunya kita mengutamakan al-Kitab dan al-Sunnah berbanding yang selainnya, beliau telah memberi peringatan bahawa perkara ini tidak mengharuskan kita mencerca, menghina serta menuduh para ulama' dengan pelbagai tohmahan.

Kita tidak mencerca dan mengecam terhadap individu tertentu -pada apa yang mereka perselisihkan- kita serahkan terhadap apa yang mereka niatkan, dan telah tertunai apa yang mereka telah kemukakan.

Justeru, perselisihan pandangan pada masalah ijtihadiyyah menurut fiqh Islam tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mencerca, merendah-rendahkan imej mereka dan sangsi terhadap apa tersemat di hati mereka.

Kewajiban kita terhadap apa yang kita perselisihkan ialah menjelaskan yang paling rajih (yang lebih jelas) dan tepat, dengan penuh beradab serta rasa hormat tanpa mencerca orang lain.

Inilah dia adab Islam dan neraca yang adil, yang dengannya hati manusia boleh menjadi jinak dan menjernihkan jiwa. Sementara bertengkar, mencerca dan menghina serta meragui niat-niat mereka akan membawa kepada perpecahan dan permusuhan. Ini bukanlah dari agama Islam.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Kesimpulan aKHFasH.CoM : Meskipun seseorang itu bergelar ulama', tidak mustahil untuk ulama' itu melakukan kesilapan dalam menuturkan kata-kata atau memberikan pandangan. Yang maksum (terpelihara daripada kesalahan) hanyalah baginda Rasulullah S.A.W. Sentiasalah bersangka baik kepada mereka. Jangan mencaci, mencerca atau menghina mereka !!!

Moga Allah memberi kita hidayah dan inayahNya serta menjaga kesatuan Umat Islam.

Rujukan : Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta'alim oleh Muhammad Abdulullah Al-Khatib

0 comments: