
Sepanjang minggu ini saja saya telah menerima beberapa berita kematian orang yang saya kenal. Berita kematian bukanlah suatu perkara yang pelik kerana setiap hari pasti ada saja kematian. Hanya berita seperti ini jarang saya terima terutama melibatkan kematian orang yang saya kenal.
8 Jun 2009, saya menerima satu berita yang mengejutkan melalui status YM kawan iaitu berita kematian sahabat rapat saya, Allahyarham Ustaz Wan Mohd Salimi Wan Sulong. Sejurus melihat status itu, saya terus bertanyakan kawan tentang kesahihan berita tersebut. Ternyata ia memang benar. Allahyarham merupakan seorang Pecinta Ilmu Allah S.W.T. Malah saya menjangkakan bahawa Allahyarham mampu menjadi seorang tokoh ulama' negeri Terengganu di masa hadapan. Ternyata Allah lebih sayangkan beliau dan ingin menjemputnya untuk berada lebih dekat di sisi. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak yang masih kecil, antara 2 bulan hingga 4 tahun. Semoga Allah memberi ketabahan dan kekuatan kepada isteri dan anak-anak Allahyarham.
10 Jun 2009, saya menerima satu berita kemalangan. Kemalangan ini melibatkan 5 orang daripada Pelajar Perubatan Kaherah Mesir. Kemalangan ini telah maragut satu nyawa, Saudara Muhammad Ammar Zulkifli. Seingat saya, ini merupakan kemalangan jalanraya yang paling teruk pernah saya dengar melibatkan pelajar Malaysia di Mesir sepanjang 7 tahun saya berada di sini. Semoga Allah menempatkan Allahyarham Muhammad Ammar bersama para syuhada' dan solihin.
13 Jun 2009, tarikh ini pasti akan diingati oleh seluruh umat Islam terutama pejuang agama Allah S.W.T. Tarikh ini menyaksikan seluruh dunia Islam menangisi pemergian seorang tokoh Ulama' Haraki Professional, Syeikh Fathi Yakan. Beliau merupakan seorang tokoh pelopor yang telah membawa perubahan besar dalam dunia perjuangan Islam. Allahyarham juga merupakan seorang penulis Islam terkenal. Antara buku karangan beliau yang telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa ماذا يعني انتمائي للاسلام (Apa Erti Saya Menganut Agama Islam), مشكلات الدعوة والداعية (Masalah Dakwah dan Pendakwah), ابجديات التصور الحركي للعمل الاسلامي (Persepsi Dinamik Dalam Kerja-Kerja Islam), dan سفينة النجاح (Bahtera Penyelamat). Pemergian Syeikh Fathi Yakan merupakan satu kehilangan yang besar pada dunia Islam. Kehilangan ini pasti sukar dicari ganti. Moga-moga Allah merahmati beliau dan memberi kesabaran kepada ahli keluarga beliau.
Pemergian seseorang merupakan lumrah dan fitrah kehidupan. كلّ نفس ذائقة الموت Setiap yang bernyawa pasti akan menghadapi kematian, dan setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Ingatlah bahawa kewafatan ulama' adalah cara Allah mencabut ilmuNya daripada manusia. Dan kewafatan ini merupakan satu daripada tanda-tanda kiamat. Perkara ini telah disebut oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis baginda :
Daripada Abdulullah bin Amru bin Al-'As telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan menyentapnya (menariknya) daripada dada hambaNya. Akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan dimatikannya para ulama'. Sehinggalah jika tiada lagi orang alim maka manusia mengangkat ketua-ketua yang jahil (menjadi pemimpin). Mereka (pemimpin jahil) itu ditanya dan mereka memberi fatwa tanpa ilmu, maka (fatwa itu) sesat dan menyesatkan.
- hadis riwayat Imam Bukhari
Moga setiap berita kematian yang kita terima mampu mengingatkan dan mempersiapkan diri kita untuk menghadapi saat kematian. Ketahuilah bahawa orang yang paling bijak adalah mereka yang sentiasa mengingati mati dan mempersiapkan diri untuk menghadapinya - AlHadis.
Wallahu A'lam.
0 comments:
Post a Comment