Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Wednesday, July 26, 2006

Akhfash & AF

Semalam telah berakhirnya AF (The Annual Festival of BKPJM), ia diakhiri dengan satu malam penutup “Malam Untaian Mahabbah” iaitu malam penyatukan kembali pelajar-pelajar Johor yang menuntut di bumi barakah ini setelah terpisah dan disibukkan dengan peperiksaan akhir semester sebelum ini. AF telah berlangsung selama 7 hari yang diisi di dalamnya dengan pelbagai acara yang menyeronokkkan. Walaupun saya tidak berkesempatan mengikuti kesemua acara sepanjang 7 hari AF berlangsung, namun saya dapat rasakan keseronokannya. Sebelum ini saya dan isteri telah merancang untuk pulang ke Kaherah bagi mengikuti acara-acara di AF terutamanya Kursus Pra Perkahwinan Keluarga Sakinah (KASIH). Malah kami telah membayar wang pendahuluan pendaftaran bagi kursus ini. Kami perlu untuk mengambil kursus ini kerana kami tidak mengambilnya sebelum pernikahan kerana kami bernikah di sini (Mesir). Kebetulan pula BKPJM ada menganjurkan kursus pra perkahwinan buat pertama kalinya, jadi kami tidak mahu melepaskan peluang ini untuk mengikuti kursus ini di sini dan tidak perlulah kami mengikutinya apabila pulang ke tanahair kelak. Namun semua ini tidak menjadi kenyataan, kami terpaksa lepaskan peluang ini hanya kerana satu sebab. Malah dengan sebab ini juga saya dan isteri terpaksa melupakan keinginan untuk berkunjung ke Bazar Seri Selatan baru-baru ini. Kami selalu memikirkan sebab yang satu ini, menimbangkan Fiqh Al-Muwazanah dan Fiqh Al-‘Aulawiyat.

Ternyata saya terpaksa akur dengan sebab yang satu ini dan seterusnya melepaskan peluang mengikuti Kursus Pra Perkahwinan dan peluang untuk berjumpa kawan-kawan yang sudah sekian lama tidak bersua muka di acara-acara sepanjang AF berlangsung. Sudah lama saya dan isteri tidak melibatkan diri dalam program yang dianjurkan oleh BKPJM. Mungkin dengan sebab jarak lebih 200 km memisahkan saya dari BKPJM, tapi bagi saya ini semua tidak boleh dijadikan alasan. Teringat semasa 2 tahun pertama saya di bumi barakah ini, sewaktu saya masih di kaherah. Hampir setiap program BKPJM saya ikuti, tidak mahu melepaskan peluang yang ada sambil menambah thaqafah di dada. Di kaherah bukan saja saya berpeluang melibatkan diri dalam program-program yang dianjurkan oleh BKAN dan PMRAM, malah saya juga berkesempatan mengikuti kelas-kelas talaqqi yang berada di sana. Memang tidak dinafikan di Iskandariah juga terdapat banyak kelas-kelas talaqqi, tapi ia masih tidak sebanyak yang berada di ibu kota Mesir. Walaupun saya merasa seronok tinggal di Iskandariah, namun saya tetap tidak dapat apa yang saya telah dapati sepanjang saya berada di kaherah.

Satu sebab yang menyebabkan saya terpaksa melupakan untuk melibatkan diri dalam AF, sebabnya adalah Ahmad Akhfash, anak sulong saya yang baru berusia 59 hari. Saya selalu memikirkannya, malah saya selalu teringat beberapa pertanyaan yang pernah ditanyakan kepada saya, “bila nak bawa Akhfash ke Kaherah?, AF nanti balik tak?, Tak ikut kursus kahwin ke?”. Inilah antara soalan-soalan yang pernah ditanyakan oleh kawan-kawan. Mungkin ramai yang tidak faham kenapa hanya dengan sebab ini saya tidak boleh mengikuti AF. Cuba kawan-kawan fikirkan jika kalian berada di tempat saya, memikirkan tentang anak yang masih kecil. Selesakah dia di kaherah nanti, lebih-lebih lagi musim panas ni? Selesakah dia berada dalam keadaan sesak di rumah Johor? Bagaimana hendak menyusukan dia setiap 1 atau 2 jam sambil mengikuti program. Bagaimana nak bawa dia ke rumah Johor dan ARMA menaiki bas yang penuh sesak lebih-lebih lagi musim panas ni? Inilah yang sering saya fikirkan. Memang penting mengikuti program yang dianjurkan oleh BKPJM terutama program seumpama ini yang hanya setahun sekali. Namun apa yang mampu saya lakukan? Ternyata diri ini lemah apabila memikirkan anak yang masih kecil. Tidak sanggup saya melihat dia menangis walaupun sedetik. Mungkin inilah naluri seorang ayah. Baru kini saya dapat rasakan betapa besarnya pengorbanan dan jasa kedua ibu bapa. Dalam kehidupan mereka, tidak sedetik pun mereka terlupa untuk memikirkan tentang anak-anak.

Apapun, saya amat berharap selepas ini BKPJM akan menganjurkan program-program seperti AF dan saya amat berbesar hati sekiranya BKPJM mahu untuk menganjurkan Kursus Pra Perkahwinan pada tahun hadapan. Buat semua kawan-kawan, terutamanya Ustaz Fairuz dan seluruh AJKT BKPJM, sudilah untuk kalian memaafkan diri ini kerana tidak mampu untuk melibatkan diri walaupun dalam satu acara sepanjang AF berlangsung. Insya-Allah jika selepas ini ada kesempatan dan kelapangan, saya beserta isteri dan Akhfash pasti akan menjayakan program-program yang dianjurkan BKPJM.

p/s : Cadangan untuk BKPJM menganjurkan satu program bagi menghimpunkan anak-anak saudara BKPJM…

2 comments:

MZP said...

kalau akhfash bg kat aku, aku carikan susu lembu, sbb aku takde bini lagi.

tapi aku tahu, ko memang tak bagi aku pinjam, kan?

wakaka

Abu Akhfash Al-Iskandarani (abuakhfash@gmail.com) said...

Akhfash tak minum susu lembulah... Nantilah, bila ko dah ade isteri aku bagi pinjam.

Hehehe