Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Sunday, August 26, 2007

Di Ambang Ramadhan

Ramadhan semakin hampir, apakah yang terfikir di benak fikiran kita? Peniaga pasti sedang sibuk memikirkan cara untuk mengaut keuntungan. Ada pula yang sudah sibuk memikirkan persiapan menjelang Aidilfitri yang dikatakan hanya setahun sekali. Ada pula yang memenuhkan perut dengan makanan-makanan yang enak di siang hari kerana mereka tidak akan dapat menikmatinya di siang Ramadhan. Inilah antara keadaan yang kita dapat lihat di kalangan masyarakat Malaysia.

Ramadhan, bulan mulia. Kita sekarang sudah berada di ambang ramadhan. Apakah persiapan kita untuk menghadapi bulan barakah ini? Tepuk dada, tanyalah diri. Sya'ban merupakan bulan yang ditetapkan Allah sebelum ramadhan. Di bulan ini baginda S.A.W akan memenuhinya dengan pelbagai amalan sunat. Antara amalan yang dititik beratkan oleh baginda adalah ibadah puasa sunat. Telah bertanya Saidina Jabir R.A kepada Rasulullah S.A.W : Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebanyak ini di selain bulan Sya'ban. Baginda S.A.W menjawab: Sesungguh di antara ramadhan dan rejab terdapat satu bulan yang mulia, yang kebanyakan manusia melalaikannya. Di bulan itu Allah mengangkat amalan hamba-hamba Nya dan aku sangat suka diangkat amalan ku ketika aku sedang berpuasa.

Dapatlah difahami dari hadis ini bahawa baginda S.A.W amat suka berpuasa pada bulan Sya'ban dan menggalakkan umatnya untuk melakukan ibadah ini. Di bulan ini telah terjadi beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam. Di antara peristiwa itu ialah Insyiqaq Al-Qomar (terbelahnya bulan). Seorang Quraisy telah berjumpa baginda S.A.W dan meminta baginda membuktikan kenabiannya. Baginda meminta bangsa Quraisy berkumpul pada malam hari untuk menyaksikan mukjizatnya dan apabila manusia telah berkumpul baginda menunjukkan mukjizat baginda dengan membelah bulan kepada dua bahagian. Bangsa Quraisy yang melihat mukjizat itu menyatakan bahawa itu hanyalah sihir yang dilakukan oleh baginda untuk mengaburi mata manusia. Peristiwa yang besar ini berlaku pada malam 14 Sya'ban. Pada bulan ini juga akan ditukar kitab amalan seluruh manusia. Ia ialah pada 15 Sya'ban atau digelar sebagai Nisfu Sya'ban.

Kita digalakkan untuk menghidupkan bulan Sya'ban ini dengan ibadah-ibadah sunat terutama pada malam dan siang Nisfu Sya'ban. Hidupkanlah malam ini dengan qiamullail dan tilawatul Quran, kemudian berpuasa pada siang hari. Berusahalah menghidupkannya. Inilah antara persiapan yang sepatutnya dilakukan menjelang ramadhan al-mubarak. Budayakanlah solat berjemaah di masjid dari sekarang agar saat tibanya ramadhan, kita tidak lagi kekok melakukannya. Persiapan itu perlu dari awal. Jika pasukan bola, badminton dan pasukan-pasukan lain perlu membuat persediaan dalam tempoh yang panjang sebelum menjelang kejohanan dunia dan sebagainya. Kenapa kita sebagai satu-satunya umat yang dikurniakan ramadhan tidak mempersiapkan diri untuk menghadapi kejohanan ibadah di bulan ramadhan. Persiapkan diri dari sekarang, agar kelak diri kita tidak lagi kekok untuk menghidupkan ramadhan dengan ibadah. "اللهمّ باركنا في شعبان و بلّغنا رمضا ن ".

Wallahu A'lam

0 comments: