Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Thursday, August 31, 2006

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Hari ini merupakan hari ulangtahun ke-49 kemerdekaan Malaysia. Sudah hampir setengah abad Malaysia merdeka.

Sebagai sebuah negara yang telah lama merdeka, semestinya ia akan semakin maju dan membangun setelah bebas dari belenggu penjajah. Dan semestinya negara ini telah dapat menjalankan kegiatan mereka baik dari segi undang-undang, ekonomi, hubungan luar dan selainnya tanpa perlu mengikut telunjuk dari mana-mana pihak. Dan semestinya juga pemikiran dan tindakan rakyat telah bebas dari arahan dan kongkongan penjajah. Namun....adakah semua ini benar-benar dapat dikecapi oleh Malaysia dan rakyatnya???

Memang benar Malaysia telah diberikan kemerdekaan 49 tahun yang lalu, iaitu pada tanggal 31 Ogos 1957. Semenjak tarikh ini tanah Malaysia telah bebas dari dijajah. Dan selama 49 tahun ini juga, negara ini bebas mengibarkan 'Jalur Gemilang'.

Malahan kita semua akui, sejak mengecapi kemerdekaan Malaysia telah banyak berubah. Negara ini sudah semakin membangun, malah negara ini sudah semakin maju baik dari segi pembangunan, infrastruktur dan ekonomi jika hendak dibandingkan keadaannya 49 tahun lalu. Kita akui semua ini.

Akan tetapi kita juga tidak dapat nafikan bahawa walaupun telah hampir setengah abad Malaysia merdeka namun pemikiran dan tindakan rakyat negara ini masih lagi dibelenggu dan dikongkong oleh penjajah. Dan hakikatnya, diri mereka semakin dijajah.

'Generasi Merdeka' hari ini jauh berbeza dari 'Generasi Merdeka' 30 dan 40 tahun yang lalu. Kononnya 'generasi merdeka' kini sudah moden, maju, 'up to date' hinggakan mereka terlupa malah melupakan ajaran agama dan budaya mereka.'Generasi' ini banyak mencontohi amalan dan budaya barat bak kata anak-anak muda sekarang "ala-ala western", walhal nenek moyang mereka dahulu berjuang bermatian-matian untuk bebas dari barat.

Tepat jam 12 tengah malam tadi, kita dapat melihat bagaimana 'generasi merdeka' hari ini sudah terlampau jauh dari hakikat sebenar diri mereka. Hakikat bahawa diri mereka beragama Islam, hakikat yang mereka adalah masyarakat timur yang penuh kesopanan, dan sesungguhnya mereka telah lupa dan amat jauh dari segala hakikat. Mereka melaungkan...."MERDEKA" dalam keadaan percampuran atau ikhtilat lelaki dan perempuan, "MERDEKA" dalam keadaan mereka berpakaian seksi, dan "MERDEKA" dalam keadaan mabuk dan melakukan maksiat.

Persoalannya kini, adakah Malaysia telah benar-benar MERDEKA??? Apa sebenarnya erti KEMERDEKAAN yang dicari??? Dan 'Generasi Merdeka' inikah yang diharapkan bagi meneruskan kemerdekaan Malaysia???


0 comments: