“Cantiknya…” “Ayo yo, cantiknya dia”. “Aya… comelnya”. Inilah antara kata-kata spontan yang dilafazkan oleh sebahagian pegunjung Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Ia dilafazkan kesan daripada melihat puteri kecil yang bertudung, Afaf Raihanah.
Bukan hanya bangsa Melayu Islam mengagumi puteri kecil comel bertudung, bahkan bangsa India dan Cina turut terpesona melihat puteri ini. Kebelakangan ini saya, isteri dan anak-anak kerap ke Hhspital untuk menziarahi abang ipar. Setiap kali ke sana, pasti ramai orang sering memerhati dan melihat anak perempuan saya. Sangat kerap mata yang melihatnya menghasilkan lafaz pujian dari bibir-bibir mereka.
Saya amat bersyukur kerana Afaf Raihanah gemar bertudung. Malah setiap kali turun dari bilik di rumah, dia akan membawa tudung bersamanya. Pada mulanya saya memikirkan bagaimana untuk jadikan anak minat untuk menutup aurat. Ramai kawan-kawan yang sudah mempunyai cahaya mata perempuan ketika menuntut di Mesir mengeluh kerana anak mereka ‘liat’ bertudung selepas pulang ke Malaysia. Cuaca panas adalah antara alasan anak-anak ini untuk menanggalkan tudung. Tetapi Afaf Raihanah tidak memilih alasan ini untuk tidak bertudung bahkan menjadikannya pendorong agar memakainya. Mungkin ini hasil daripada didikan ummi.
Jika anak kecil mampu melahirkan perasaan kagum di hati dan mulut orang yang melihatnya. Maka pasti yang lebih berusia teramat berupaya melakukan lebih dari itu. Ini mengingatkan saya bagaimana dakwah islamiah dilaksanakan di zaman nabi Muhammad sollahu ‘alaihi wassalam dan para sahabat radiyallahu ‘anhu.
Sirah dan sejarah telah membuktikan bahawa ramai manusia telah meninggalkan agama lama mereka untuk masuk ke dalam agama yang diredhai Allah. Faktor utama mereka ini masuk ke dalam agama Islam secara berbondong-bondong bukanlah kerana Rasulullah sollahu ‘alaihi wassalam seorang yang lantang dalam berpidato atau hebat dalam berdebat, tetapi ia adalah kesan terpesonanya mereka tatkala melihat peribadi dan akhlak baginda nabi sollahu 'alaihi wassalam. Akhlak nabi ini telah disifatkan oleh isterinya Saidatina Aisyah radiyallahu ‘anha dengan kata-katanya yang cukup ringkas :
“Sesungguhnya akhlak baginda umpama al-Quran”
Jangan hanya menjadi manusia yang lantang dalam berkata, hebat dalam berdebat dan berhujah. Tetapi jadilah manusia yang memiliki peribadi dan akhlak yang boleh memukau setiap orang yang melihatnya. Terjemahkanlah isi kandungan al-Quran di dalam setiap tingkah laku dan tutur bicara kita. Sesungguhnya perbuatan seseorang merupakan dakwah yang lebih tajam daripada lidah yang bertutur.
“Dakwah dengan perbuatan lebih berkesan daripada pertuturan”
Manusia terpesona dengan perbuatan. Bukan dengan tutur bicara yang sopan. Tetapi perangai macam syaitan. Moga kita semua mengambil pedoman.
Wallahu a’lam.





























