Majlis Perjumpaan ini merupakan kali pertama diadakan semenjak YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Majlis ini dimulakan dengan sesi pembentangan kertas kerja bertajuk "Memantap Ulama' dan Umara' Memperkasa Pembangunan Ummah". Kertas kerja ini dibentang oleh tiga orang ahli panel, Tan Sri Haji Ibrahim b. Haji Lembut, Prof. Dato' Dr. Ismail b. Ibrahim dan Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi b. Abdul Majid. Pembentangan ini dikendalikan oleh moderator Ustaz Nidzamuddin b. Zakaria.
Sesi petang adalah perasmian Majlis. Perasmian ini disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada jam 3 petang. Seterusnya beliau melancarkan gagasan dan logo 1 Malaysia 1 Ummah peringkat agensi-agensi agama seluruh Malaysia. Gagasan dan logo 1 Malaysia 1 Ummah dilancarkan pada jam 4.35 petang.
Di antara isi penting di dalam ucapan perasmian ialah YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa di Malaysia, Ulama adalah pihak yang ber 'authoriti' dalam mengutarakan pandangan dan cadangan dalam segenap sudut manakala umara' pula sebagai pelaksana. Beliau juga menegaskan bahawa masyarakat perlu sentiasa mendampingi ulama' dalam memahami isu-isu dan masalah-masalah yang berkaitan dengan agama Islam.
Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Malaysia bersama Ulama' dan Umara' diakhiri dengan sesi dialog yang dikendalikan oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom. Di dalam sesi ini beberapa soalan 'panas' diutarakan kepada YAB PM. Antaranya apa yang disoalkan oleh Dato' Haji Mustapha Ma, Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia.Beliau menyatakan bahawa di Malaysia ada pihak yang ingin menjadikan negara ini sebagai negara Sekular. Beliau bertanya kenapa kes kalimah Allah tidak dibawa ke Mahkamah Syariah. Ini berdasarkan artikel 173 Perlembangan yang menyatakan bahawa setiap perkara yang berkaitan dengan hal dan akidah orang Islam perlulah dibicarakan di dalam Mahkamah Syariah. Dato' Mustapha Ma juga mencadang agar gagasan 1 Malaysia ditambah dengan dua patah perkataan di belakangnya iaitu negara Islam, "1 Malaysia Negara Islam". Cadangan ini mendapat tepukan gemuruh dan reaksi positif daripada hadirin.
Mufti Kerajaan Kedah juga mengambil kesempatan pada sesi ini untuk mengutarakan soalan kepada YAB Perdana Menteri. Beliau bertanya mengenai nasib Sekolah Agama Rakyat di Kedah khususnya dan di seluruh Malaysia amnya. Bagaimana nasib SAR yang tidak menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Adakah kerajaan pusat akan memberi bantuan kepada SAR yang masih tidak mahu di SABK kan. Soalan ini diutarakan untuk mengetahui pembawakan YAB PM terhadap SAR selepas sekolah-sekolah ini mengalami keperitan semasa zaman Dr. M dan Pak Lah.
Sesi dialog ini diadakan secara tertutup tanpa kehadiran media. Sesi yang amat singkat ini sekaligus tidak memberi peluang kepada hadirin lain untuk berdialog bersama PM. Walaupun hanya empat daripada seribu orang yang diberikan peluang untuk berdialog, tetapi nampaknya YAB Perdana Menteri Malaysia tidak dapat menjawab soalan ini. Sebaliknya hanya mengaburi soalan dengan janji-janji manis. PC atau Sidang Media yang sepatutnya diadakan selepas sesi dialog telah dibatalkan oleh YAB PM atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Mungkin kerana beliau kesuntukan masa.
Saya amat berharap agar dua aspek yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri di dalam ucapan perasmian dapat dilaksanakan. Jangan hanya perkataan yang dilafazkan, susulilah ia dengan tindakan dan perbuatan. Firman Allah S.W.T di dalam surah as-Sof, ayat 2&3 :
يأيّها الذين ءامنوا لم تقولون مالا تفعلون
كبر مقتا عند الله أن تقولوا مالا تفعلون
''Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu katakan apa yang tidak kamu lakukan?
Kemurkaan besar di sisi Allah kepada mereka yang mengatakan apa yang tidak mereka kerjakan!''.
كبر مقتا عند الله أن تقولوا مالا تفعلون
''Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu katakan apa yang tidak kamu lakukan?
Kemurkaan besar di sisi Allah kepada mereka yang mengatakan apa yang tidak mereka kerjakan!''.
Saya juga berharap program seumpaan ini akan kerap diadakan. Ulama' dan umara' perlu sentiasa bertemu dalam merungkai, menyelesai dan berbincang mengenai masalah negara. Beri ruang dan peluang yang luas dalam sesi dialog PM bersama Ulama' dan Umara'.
Tambahan: Saya akan menulis mengenai isi kandungan Pembentangan Kertas Kerja dalam Majlis ini pada entri akan datang. Tunggu !!!














0 comments:
Post a Comment