Semasa berada di Mekah, Rasulullah SAW dan para sahabatnya menerima tentangan daripada penduduk tempatan yang enggan menerima Islam. Mereka enggan menerima dakwah Rasulullah, sebaliknya terus hidup dengan penuh keseronokan mengikut kehendak hawa nafsu tanpa terikat dengan sebarang peraturan. Dalam pembinaan sesuatu tamadun; peraturan yang menjaga kerukunan hidup sebagai terasnya. Manusia yang bertamadun ialah manusia yang berperaturan.Sebelum kedatangan Islam, manusia bertuhankan hawa nafsu. Apabila Rasulullah SAW cuba mengubah cara hidup mereka, baginda ditentang hebat, hingga ke tahap mengancam nyawa. Bila keadaan keselamatan Rasulullah sudah terancam, Allah memerintahkan baginda berpindah ke Madinah.
Pada hari ini semasa membincangkan peristiwa hijrah, kita begitu mudah menyebut Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah pergi Madinah. Kita menyatakan bahawa tindakan Rasulullah itu adalah suatu yang tepat untuk menyelamatkan dakwah Islam. Sewajarnya dalam menyatakan sokongan ini bayangkanlah bersama betapa peritnya penderitaan yang dialami oleh Rasulullah dan para sahabatnya semasa mempertahankan agama Islam. Penyeksaan tak usah dikira yang dialami oleh umat Islam pada waktu itu. Betapa sengsaranya umat Islam diseksa dan dibunuh. Penderitaan inilah yang membawa kepada penghijrahan Rasulullah dan umat Islam dari Mekah ke Madinah.
Cuba kita gambarkan laluan yang baginda lalui bersama Saidina Abu Bakar dalam perjalanan mereka menuju ke Madinah. Kedua-duanya berjalan dalam keadaan takut dan cemas kerana orang musyrikin sedang mengesan untuk membunuh Rasulullah SAW. Seorang Rasul, manusia agung terpaksa bersembunyi bersama teman setianya di dalam gua.
Pada hari ini mereka yang melalui lebuhraya baik dari Madinah ke Mekah atau dari Mekah ke Madinah, jika melihat di kiri kanan jalan, yang kelihatan hanyalah bukit-bukau, gunung-ganang dan padang pasir yang luas terbentang. Tidak terdapat pokok untuk berteduh atau anak sungai untuk berhenti rehat. Cuba gambarkan bagaimana Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar berjalan melalui tempat ini.
Kita yang menaiki bas mengambil masa enam tujuh jam untuk sampai. Itu pun menempuh lebuhraya yang rata dan lurus dengan keadaan bas yang berhawa dingin. Sekiranya menaiki unta seperti yang dilakukan oleh Rasulullah dan Saidina Abu Bakar, berapa hari agaknya kita akan sampai. Kasihan Rasulullah SAW yang keluar dari rumah bersama Saidina Abu Bakar dalam keadaan sehelai sepinggang. Bergadai nyawa, meredah padang pasir, berjuang untuk kebaikan umat manusia. Rasulullah tidak dibayar gaji atau elaun untuk membuat kerja yang amat sukar. Perkara inilah yang perlu kita hayati bila mengadakan sambutan Maal Hijrah.
Kita tidak perlu menaiki unta meredah padang pasir untuk merasai apa yang Rasulullah pernah rasai dalam peristiwa Hijrah. Islam tidak meminta umatnya melakonkan semula babak yang menyayat hati ini. Apa yang perlu kita lakukan ialah mentaati apa yang Rasulullah perintahkan. Rasulullah SAW tidak meminta bantuan daripada Allah SWT menerbangkannya dari Mekah ke Madinah. Jika dalam peristiwa Israk dan Mikraj lebih jauh daripada itu boleh berlaku, inikan perjalanan dari Mekah ke Madinah, tidak mustahil Allah boleh melakukannya. Tetapi baginda tidak meminta itu semua, sebaliknya memilih berjalan sendiri.
Perkara yang seperti inilah yang sewajarnya kita kaji semasa menyambut Maal Hijrah. Renungkan sebentar, gambarkan penderitaan Rasulullah. Selepas itu pandang pula pada diri kita sekarang. Lakukanlah beberapa kali, kita akan dapat rasakan sesuatu kelainan pada diri kita dalam menghayati maksud "Maal Hijrah". Kisah hidup Rasulullah SAW penuh dengan contoh tauladan yang baik untuk dijadikan panduan hidup.
Buku ini bertujuan untuk menghadirkan semula di dalam minda dan sanubari kita tentang sirah perpindahan Rasulullah SAW bersama para sahabat radiyallahu ‘anhum dari Mekah ke Madinah. Peristiwa hijrah nabi SAW diceritakan secara terperinci di dalam buku ini agar mampu menjadi iktibar dan pedoman di dalam kita menyusuri kehidupan seharian sebagai umat terbaik di bumi Allah ini.
Dapatkan segera buku ini secara PERCUMA di Unit Penerbitan Dan Perhubungan Awam, Majlis Agama Islam Johor. TERHAD!