Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Wednesday, March 11, 2009

MINDA - Forum 'Keluarga Bahagia'

Cenderahati MINDA '09

9 Mac baru-baru ini saya dijemput sebagai ahli panel bagi Forum Bait Muslim pada program Minda (Minggu Interaksi Damanhur). Forum ini bertajuk 'Keluarga Bahagia'. Saya diminta untuk menggantikan Ustaz Syed Abdul Kadir (ketua bait muslim PMRAM). Ini merupakan kali pertama saya dipanggil menjadi pengisi di DPM Damanhur. Pengalaman pertama ini ingin saya kongsikan bersama sahabat-sahabat.

Digandingkan bersama Ustaz Haji Ahmad Hanif bin Haji Naim, Pegawai Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir membuat diri ini terasa kerdil. Beliau merupakan mantan Pegawai Tadbir Agama beberapa daerah di sekitar negeri Johor atau dalam bahasa mudahnya Kadi Daerah. Mahupun begitu beliau sangat ramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Digandingkan bersama seseorang seperti beliau yang memiliki lebih ilmu dan pengalaman merupakan pengalaman yang tak dapat dilupakan.

Ustaz Haji Ahmad Hanif sedang menyampaikan forum dengan penuh bersemangat

Forum ini berlangsung selama hampir dua jam. Ustaz Haji Ahmad Hanif merupakan ahli panel pertama mewakili pihak Kedutaan dan saya adalah ahli panel kedua mewakili Bait Muslim PMRAM. Walaupun sebagai ahli panel, saya amat tertarik dengan apa yang disampaikan oleh ahli panel pertama sekaligus banyak ilmu dapat saya perolehi darinya khusus dalam ilmu rumah tangga.

'Keluarga Bahagia', inilah tajuk Forum. Jika dilihat tajuk ini pada pandangan saya, kesemua soalan yang diajukan kepada kami berdua tiada kaitan dengan tajuk yang dipaparkan. Kami hanya diminta untuk menjelaskan serta menerangkan berkaitan prosuder dan peraturan dalam urusan perkahwinan di peringkat Kedutaan dan Lajnah Bait Muslim PMRAM. Saya berharap agar selepas ini pihak penganjur dapat menyediakan soalan yang bersesuai dengan tajuk FORUM. Pihak penganjur amat beruntung kerana ahli panel pertama adalah Ustaz Hanif. Walaupun soalan hanya berkisar mengenai cara-cara, prosuder dan peranan tapi jawapan serta ulasan beliau membuatkan hadirin berpuas hati. Pengalaman yang dimilikinya tambahan pernah bertugas sebagai pegawai khidmat nasihat dan pendakwah syar'ie telah beliau kongsikan bersama hadirin forum.

Sedikit yang saya ingin kongsikan bersama pembaca di sini dar apa yang telah beliau sampaikan. Isi ini banyak saya dapat ketika bersembang bersama beliau sebelum forum bermula. Kami dijadualkan forum akan bermula jam 6.30 petang tetapi ia bermula tepat jam 8.10 malam. Waktu yang terluang itu beliau manfaatkan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama kami yang berada di bilik tamu. Perkahwinan merupakan perkongsian. Itu tips yang beliau berikan pada kami. Apabila seseorang itu berkahwin, ini bermakna kedua pasangan suami dan isteri telah bersedia untuk berkongsi segala-galanya bersama. Bukan sekadar berkongsi katil dan lihaf (selimut), malah berkongsi hidup, masalah dan tanggung jawab. Inilah yang diajar dan diamalkan oleh baginda Nabi S.A.W bersama Saidatina Khadijah r.a dan Ummahatul Mukminin.

Kebanyakan pasangan pada hari ini tidak mengamalkan konsep perkongsian ini. Isteri-isteri dewasa ini hanya menyerahkan seluruh tanggungjawab mencari nafkah kepada suami. Begitu juga suami, membiarkan isteri keseorangan menguruskan hal ehwal rumah. Tidak hairanlah jikalau isteri itu tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Isteri yang bekerja perlu membantu suami dalam menyara keluarga, lebih-lebih lagi jika suami bergaji kecil atau sederhana. Ramai berkata Islam hanya memerintahkan suami mencari nafkah tanpa perlu bantuan daripada isteri. Pernahkah kita terfikir ke mana harta-harta Saidatina Khadijah dibelanjakan selepas bergelar isteri Rasulullah. Seorang saudagar terkenal, mempunyai perniagaan dan harta yang banyak. Seluruh hartanya diinfakkan untuk perjuangan suami tercinta Muhammad S.A.W. Inilah yang dilakukan oleh Saidatina Khadijah r.a, menyara dan membantu suami dengan sepenuh jiwa dan raga juga harta demi perjuangan Islam.

Menerima cenderahati MINDA yang disampaikan oleh Presiden PMRAM dan diringi Pengerusi DPM Damanhur,
Ustaz Akmal (kanan sekali)


Suami pula perlu membantu isteri dalam hal ehwal rumah. Mengurus rumah, menjaga serta mendidik anak-anak dan urusan-urusan yang lain. Jangan hanya membiarkan isteri keseorangan. Amalkan akhlak yang telah diajarkan nabi S.A.W kepada kita. Telah disifatkan oleh Saidatina Aisyah r.a bahawa nabi S.A.W melakukan sendiri kerja-kerja rumah. Menjahit selipar, membersih pakaian dan sebagainya.

Sikap saling bantu-membantu sesama suami isteri perlu diamalkan demi menjana keluarga bahagia. Jika konsep perkongsian ini difahami dan diamalkan pastinya segala masalah dan kepincangan dalam rumah tangga dapat dielakkan. Hayati, amal dan terapkan pengajaran Islam dalam kehidupan berkeluarga. Insya-Allah akan terbentuklah KELUARGA BAHAGIA.

Wallahu a'lam...

p/s : Jazakallah & syukran kepada Ustaz Wan Shamsuddin kerana sudi jadi musyrif ke Damanhur.

0 comments: