Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA


KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Bersempena Hari Bapa yang akan disambut 17 Jun ini, semua insan-insan bergelar bapa diajak untuk merenung kembali dan melakukan muhasabah diri ke atas amanah dan tanggungjawab yang terpikul di pundak mereka.

Langkah itu perlu dilakukan oleh mereka, apatah lagi bapa merupakan pemimpin dan ketua keluarga yang merupakan unit asas kepada masyarakat, negara dan umat manusia.

AJK PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, beranggapan semua yang dilakukan bapa itu adalah satu tanggungjawab yang diwajibkan ke atas mereka, dan sekiranya ia dilakukan secara tidak sempurna maka ia menjadi satu dosa.

"Saya berpandangan, apa yang dilakukan oleh bapa-bapa itu adalah tanggungjawab mereka, yang tidak memerlukan balasan. Malah, kalau rasa apa yang dilakukan itu tidak sempurna, kita yang bergelar bapa ini telah melakukan dosa kerana gagal memikul tanggungjawab tersebut," katanya, yang juga Bendahari PAS Pusat, kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun, bapa kepada tujuh orang anak dan seorang menantu ini, mengatakan sambutan hari bapa yang boleh dikatakan masih baru di kalangan masyarakat kita ini juga menunjukkan kaum bapa kini telah diberikan penghormatan dan juga 'dalam perhatian'.

"Kaum bapa bukan sahaja dalam perhatian keluarga iaitu isteri dan anak-anak, tetapi juga diperhatikan oleh seluruh masyarakat. Justeru, jadikanlah hari bapa ini sebagai satu keazaman untuk mereka menjadi bapa yang lebih bertanggungjawab kepada keluarga masing-masing. Jika seseorang bapa itu berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan sempurna, secara automatik anak-anak akan lebih menghormati dan menghargai bapa mereka," tegas beliau.

Beliau yang tidak menolak sekiranya bapa-bapa di Malaysia ini diraikan, bagaimanapun berharap semua yang bergelar bapa agar lebih merasakan apa yang dilakukan mereka selama ini adalah sebagai tanggungjawab mereka berbanding rasa untuk dihargai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Jamaah Islah Malaysia (Jim), Zairulshahfuddin Zainal Abidin, bagaimanapun berkata bapa juga merupakan orang yang layak dan perlu diberi penghormatan dan penghargaan ke atas kejayaan ini selaku ketua yang mengemudi perjalanan sesebuah keluarga.

Katanya, jasa para bapa yang telah sekian lama berusaha dan bersusah payah memelihara, mendidik dan memberi perlindungan perlu dikenang bersama-sama.

"Hormatilah dan santunilah mereka yang kian lanjut usia ini dengan baik sebagaimana mereka menyantuni dan menyayangi kita sewaktu kecil," kata beliau dalam sidang medianya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, katanya bapa bukan hanya bertanggungjawab memberi perlindungan fizikal semata-mata kepada ahli keluarga mereka, tetapi juga berusaha melindungi dan memlihara keimanan ahli keluarga agar tidak hanyut di dalam arus kehidupan yang bertentangan dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak bapa dan bakal-bakal bapa menjadikan Rasulullah saw sebagai contoh terbaik untuk diikuti dalam memimpin dan mengukukan institusi keluarga, selain menjadi contoh terbaik di dalam keluarga yang disegani, dihormati dan disayangi ahli keluarga. - mns

0 comments: