Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Monday, January 04, 2010

Setelah 3 Bulan....

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

1 Januari 2010 - Genap tiga bulan saya bertugas di Unit Penerbitan dan Perhubungan Awam Majlis Agama Islam Negeri Johor. Tiga bulan ini merupakan tempoh penyesuaian yang saya lalui dalam peralihan daripada alam pembelajaran kepada alam pekerjaan.

Ditugaskan untuk memimpin Unit Penerbitan MAIJ bukan satu perkara yang mudah. Saya perlu banyak belajar. Lebih-lebih lagi saya tiada asas dan bakat mengenai penerbitan. Saya belajar daripada staf di bawah mengenai penulisan dan penerbitan. Ustaz Latif Al-Jufri, Wak Dazar dan Jalil Saturi merupakan kakitangan di bawah Unit Penerbitan dan Perhubungan Awam MAIJ.

Menjadi ketua kepada mereka yang lebih usia perlu waspada. Jangan riak, sombong dan meninggi diri. Walaupun usia saya jauh lebih muda berbanding Ustaz Latif dan Wak Dazar, mereka tetap hormat saya sebagai ketua. Alhamdulillah Allah memberi saya kakitangan yang saling hormat menghormati, bekerjasama dan memberi kami keserasian.

Di Unit Penerbitan MAIJ, kami perlu menyiapkan BULETIN MAJLIS dan BUKU SIRI BINGKISAN AN-NUR. Buletin Majlis diterbitkan tiga bulan sekali di bawah Ketua Pengarang Ustaz Latif Al-Jufri. Manakala Buku Siri Bingkisan An-Nur akan ditulis oleh saya sendiri dan diterbitkan setiap bulan.

Kulit buku sebelum di 'edit'

Buku tulisan saya yang pertama bertajuk "PANDUAN MENDIDIK ANAK". Buku ini masih dalam proses percetakan dan akan diedarkan percuma selepas ini. Saya mengambil tempoh lebih kurang dua bulan setengah untuk menyiapkannya. Sebenarnya buku ini hampir siap dalam sebulan setengah saya di sini. Tapi saya kehilangan idea untuk menulis khatimah. Setelah tiga minggu terhenti barulah saya menyambung kembali penulisannya.

Ada yang berpendapat mengambil masa tiga bulan agak lama untuk menyiapkan sebuah buku. Tapi bagi saya, ia adalah tempoh yang singkat untuk saya menulis. Tambahan pula ini adalah buku pertama tulisan saya. Tiga bulan ini saya menghimpun daya untuk menyesuai diri di tempat kerja. Mengatur dan membahagi waktu di antara kerja, ibu bapa, isteri, anak-anak dan adik beradik. Pastinya buku ini tidak begitu memberi kesan positif kepada pembaca. Saya mencuba sedaya upaya untuk memberi hasil terbaik kepada masyarakat melalui penulisan.

Sementara menunggu buku PANDUAN MENDIDIK ANAK siap dicetak, saya sedang menulis HIJRAH REMAJA - Menuju Kejayaan untuk diterbitkan pada bulan ini. Saya mesti menyiapkan satu buku setiap bulan. Sebarang sumbangan buah fikiran, cadangan dan tenaga kawan-kawan amat saya harapkan.

Saya menyimpan harapan yang tinggi untuk melihat masyarakat Malaysia kembali mengamalkan Islam secara menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan. Moga penulisan saya mampu memberi sedikit sumbangan dalam mengembalikan jati diri muslim kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Wallahu A'lam.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamu'alaikum...
Akhfash dah jadi model ye sekarang ni.. hehe

Hamizah dan Husna

Abu Akhfash Al-Iskandarani (abuakhfash@gmail.com) said...

Waalaikumussalam...

Akhfash masih belum jd model. Tp ana dan zaujah akan usaha gigih utk menjadikan dia 'MODEL'.

'Model' untuk ikutan anak-anak muslim yang lain. Doakan kami berjaya :)