Risiko Otak Bergegar
SOALAN:
Doktor,
BARU-BARU ini anak saya yang berusia lima bulan telah terjatuh dari katil yang agak tinggi dalam keadaan terlentang di lantai papan. Apabila terjatuh bayi saya hanya menangis yang sangat sekejap dan kelihatan sedikit terkejut. Saya khuatir berlaku gegaran otak atau kecederaan di dalam kepalanya.
Setakat ini, bayi saya tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan misalnya, mengalami sawan, muntah atau menangis tidak henti-henti. Malah kelakuannya adalah seperti biasa. Soalan saya, apa yang boleh menyebabkan gegaran dan kecederaan pada otak bayi?
Adakah semestinya setiap kali kepala terhentak akan menyebabkan perkara tersebut? Adakah kemungkinan bayi saya akan mengalami kesan pada fizikal dan mentalnya di masa akan datang? Perlukah saya membawa anak saya berjumpa dengan doktor pakar?
Adakah amalan pengambilan zat-zat makanan tertentu seperti kalsium dapat membantu mengurangkan risiko gegaran dan kecederaan pada otak? Harap mendapat penjelasan doktor. Sekian, terima kasih.
JAWAPAN :
Terima kasih kembali di atas pertanyaan puan. Otak manusia mempunyai beberapa lapisan perlindungan bagi mengurangkan risiko kecederaan kerana ia adalah salah satu organ yang penting untuk membolehkan kita berfungsi secara normal.
Otak kita terletak di dalam tempurung kepala dan dikelilingi oleh cecair otak bagi melindunginya daripada gegaran atau impak yang kuat apabila berlaku kecederaan.
Kecederaan otak boleh berlaku sama ada melalui trauma seperti jatuh atau gegaran yang kuat terhadap bayi iaitu jika bayi digoncangkan dengan kuat (sindrom bayi goncangan).
Seperti yang telah dinyatakan tadi, otak manusia mempunyai banyak lapisan perlindungan. Oleh itu, otak hanya akan tercedera atau mengalami gegaran yang kuat jika terjatuh dan terus menghempap kepala.
Kepala yang selalu terhentak tanpa impak yang kuat tidak akan mencederakan otak.
Bayi yang terus menangis sejurus selepas terjatuh merupakan satu petanda baik berbanding jika bayi terus terdiam atau pengsan selepas jatuh.
Jika tiada kesan seperti muntah, menangis yang berterusan atau sawan selepas 48 jam, besar kemungkinan jatuh tersebut tidak mempunyai kesan terhadap otak. Ini juga tidak akan mengganggu kesihatan fizikal dan mentalnya pada masa akan datang.
Pemeriksaan doktor boleh memberikan kepastian yang bayi tidak mengalami sebarang masalah akibat insiden tersebut.
Bayi yang masih menyusu akan mendapat bekalan kalsium yang cukup dan penambahan kalsium dalam makanan tidak akan menjamin bahawa otak tidak akan tercedera apabila terjatuh kerana trauma adalah suatu yang mekanikal.
Pastikan bayi anda tidak ditinggalkan di tempat yang tinggi seperti di atas katil bersendirian kerana pada usia lima bulan, mereka sudah mula berpusing dan terdedah kepada bahaya seperti terjatuh.
Jawapan disediakan oleh Pakar Pediatrik, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor, Dr. Roliza Ibrahim.














1 comments:
dulu masa aku kecil2 ada jatuh tangga.
Post a Comment