Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Tuesday, March 13, 2007

Nadiah tetap bersyukur

Oleh SUNARTI KIBAT


NadiaH Amirah Jamil menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPM kepada kedua ibu bapanya, Jamil Omar dan Zakiah Zakaria di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saadon, Rengit, Batu Pahat, Johor, semalam.

BATU PAHAT 12 Mac - Nadiah Amirah Jamil, 18, berkata beliau dan keluarganya bersyukur walaupun tidak memperoleh semua 1A dalam 19 mata pelajaran yang diambilnya pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, beliau dan ibu bapanya tetap gembira dengan pencapaian 18A dan 1B.

Pelajar pintar itu sebelum ini diramal mampu memecahkan rekod Nur Amalina Che Bakri yang mencatat 17 1A dalam SPM.

Nadiah Amirah mengambil slip keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon di Renggit dekat sini pukul 11.30 pagi hari ini.

Anak sulung tiga beradik itu ditemani ibu bapanya, Zakiah Zakaria dan Jamil Omar serta kaunselor keluarganya, Pok Nik Wajis, 50.

Nadiah Amirah memperoleh 14 A1 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Geografi, Sains, Matematik, Perdagangan, Prinsip Akaun, Fizik, Kimia, Tasawur Islam, Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

Dia juga memperoleh 4 A2 dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, Ekonomi Asas, Kesusasteraan Melayu dan Biologi serta B3 dalam English For Science & Technology (EST).

Menurut Nadiah Amirah, dia telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian memperoleh 19A tetapi dengan pencapaian yang menghampiri sasarannya itu adalah memadai.

Katanya, dia juga tidak perlu berasa tertekan gagal mencapai semua A dalam mata pelajaran yang diambil kerana telah memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran dan peperiksaan tersebut.

Malah, katanya, dia tetap akan meneruskan cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran di bidang farmasi di Universiti Cambridge, United Kingdom sehingga ke peringkat kedoktoran dan kembali ke Malaysia untuk menjadi usahawan dengan membuka farmasi yang antara lain menjual produk ciptaan sendiri.

“Saya mahu menyambung pelajaran ke luar negara kerana jauh perjalanan luas pemandangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, bapanya, Jamil yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar sekolah itu berkata, selain bersyukur, beliau sangat berpuas hati dengan kejayaan anaknya itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

‘‘Walaupun tidak jangka mendapat keputusan yang demikian (lebih rendah), semuanya ketentuan Tuhan, saya percaya ada hikmatnya dan yang penting diberkati tuhan,” jelasnya.

Sementara, Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit, Ayub Jamil, ketika menghubungi berkata, walaupun tidak berjaya meraih 19A, kejayaan Nadiah Amirah tetap sangat membanggakan masyarakat di kawasan itu.

Lagi pula katanya, pihaknya difahamkan Nadiah Amirah hanya kurang 1 markah untuk memperoleh keputusan A2 dalam mata pelajaran EST.

‘‘Bagi saya, Nadiah Amirah tetap mendapat 19A dan kecemerlangan beliau tetap akan menjadi pembakar semangat kepada pelajar-pelajar lain khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Ayub berkata, Nadia membuktikan kepada pelajar-pelajar lain bahawa tidak semestinya bersekolah di asrama penuh dan di bandar sahaja boleh berjaya dengan cemerlang.

0 comments: