Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Sunday, November 05, 2006

42 maut, Israel mengganas di Gaza

SAUDARA-MARA rakyat Palestin, Mahmoud Sabah yang terbunuh dalam serangan Israel yang terus meningkat di utara Genting Gaza kelmarin, sedih ketika menghadiri upacara pengebumian, semalam. – Reuters.

BANDAR GAZA 4 Nov. – Tentera rejim Tel Aviv hari ini meneruskan kempen keganasannya di Genting Gaza menyebabkan tujuh penduduk Palestin, termasuk tiga anggota pejuang dan seorang remaja terkorban, menjadikan angka korban mencecah 42 orang.

Dalam keganasan sejak empat hari itu, yang bermula Rabu lalu, seorang askar Israel turut terbunuh.

Luaye al-Burnu, komander tempatan sayap tentera Hamas terbunuh dalam serangan udara awal hari ini yang turut menyebabkan empat yang lain cedera.

Dua lagi penduduk Palestin terbunuh dalam serangan di Bandar Beit Hanoun, utara Gaza.

Marwan Abu Harbib, 46, terkorban apabila kereta kebal askar rejim Yahudi melepaskan bedilan ke arah rumahnya, sementara seorang anggota pejuang, Ibrahim al-Bassiuni, 18, terkorban selepas ditembak pasukan khas tentera rejim Israel.

Dalam keganasan berhampiran Jabaliya, lima anggota Briged Ezzedine al-Qassam cedera selepas terkena tembakan artileri dan salah seorang daripada mereka, Raed Siam, 30, disahkan mati semasa mendapat rawatan di hospital.

Semalam seramai 19 orang penduduk Palestin terkorban, angka paling tinggi sejak askar rejim meningkatkan keganasan bermula Rabu lalu.

Lapan daripada penduduk Palestin terbabit maut dalam satu serangan udara sejurus menjelang malam.

Lima daripada mangsa keganasan Yahudi itu dipercayai anggota pejuang Palestin.

Terdahulu, 11 orang termasuk dua wanita Palestin terbunuh akibat keganasan tentera Yahudi.

Keganasan Tel Aviv yang semakin meningkat menyebabkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas meminta masyarakat antarabangsa campur tangan bagi menghentikan pertumpahan darah.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) walaupun menyatakan rasa kesal terhadap keganasan Israel mendakwa, keganasan Israel tersebut bertujuan mempertahankan diri.

Seorang jurucakap askar rejim Israel berkata, serangan udara tersebut disasarkan ke atas dua anggota pejuang Palestin yang didakwa sedang bersedia melancarkan serangan roket.

Keganasan Israel juga menyebabkan dua orang pekerja bantuan terbunuh di Jabaliya.

Mahmoud dan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh telah mengecam keganasan Israel sebagai “pembunuhan beramai-ramai.”

Keganasan terbaru Israel menyebabkan Britain dan Perancis meminta Tel Aviv mengelak daripada menjadikan orang awam sebagai mangsa.

– Agensi


0 comments: