Beliau berkata, kedudukan Malaysia yang berada di tempat tercorot bersama-sama Bolivia dalam senarai negara dengan demokrasi yang terencat (flawed democracy) amat memalukan.
Kedudukan Malaysia dalam senarai demokrasi terencat itu berada lebih bawah dari negara-negara seperti Mongolia, Sri Lanka, Filipina, Indonesia, Timor Leste dan Palestin.
Mahfuz menyifatkan Malaysia lebih pariah dari negara-negara yang selama ini dianggap mundur amalan demokrasi mereka.
Senarai itu, katanya, "membuktikan bahawa kerajaan yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum yang lalu adalah kerajaan yang mengalami kecacatan'
Kedudukan Malaysia bertambah buruk dalam pelbagai indeks termasuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan kini dalam Indeks Demokrasi.
Dalam senarai destinasi untuk modal asing pula, Malaysia merudum kini hingga ke tangga ke 62, menurut laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTD).
Malaysia pernah berada pada tempat keenam dalam senarai itu pada pertengahan tahun 90an lalu.
"Jika kerajaan terus tidak mengendahkan perkara itu, ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara apabila para pelabur dan peniaga hilang kepercayaan kepada negara ini.
"Malah pelabur yang ada pun mungkin akan lari keluar dan kecacatan akan bertambah hingga menyebabkan suasana politik juga tidak stabil," katanya.
Mahfuz menyifatkan kerajaan tidak berperanan membentuk budaya demokrasi dan membuka ruang supaya rakyat dapat turut serta dengan lebih berkesan dalam menentukan arah haluan negara.
Sepatutnya, katanya, sebarang bentuk perubahan hendaklah mengambilkira pendapat rakyat. Bagaimanapun, beliau menyifatkan perkara itu tidak berlaku. Sebaliknya, katanya lagi, kerajaan hanya mengambilkira pandangan mereka yang berkepentingan.
"Kalaupun ada kebebasan bersuara, kebebasan selepas bersuara tidak ada. Jika bersuara, rakyat dibayangi dengan kebimbangan terhadap pelbagai tindakan sehingga mereka takut bersuara," katanya yang sebelum itu mengulas mengenai perkara tersebut dalam WTV8.
Ketika dihubungi, Mahfuz menyebut reaksi yang tidak sepatutnya dari Abdullah dan para pemimpin Umno terhadap pandangan Dato' Mukhriz Mahathir mengenai ucapan dasar Presiden Umno sebagai petanda jelas betapa cacatnya demokrasi di negara ini.
"Mukhriz hanya menyatakan kekesalan kerana kenyataannya menyinggung perasaan Abdullah dan para pemimpin Umno yang lain tetapi tidak menarik balik kenyataannya itu.
"Penegasan pendirian Mukhriz itu merupakan satu cabaran kepada Presiden Umno untuk membuktikan pandangan anak (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) itu salah terutama mengenai betapa tidak seriusnya Umno memerangi politik wang terutama terhadap aduan berlakunya politik wang dalam mesyuarat agung Umno Bahagian Kubang Pasu," katanya.
Abdullah, katanya lagi, tidak sepatutnya menunjukkan sifat kebudak-budakan terhadap kenyataan Mukhriz yang menyatakan kekesalannya itu.
Ketika ditanya mengenai kekesalan Mukhriz itu, Perdana Menteri berkata: ‘‘Oh... dia menyesal, tak apalah, apa dia nak cakap, ikut suka dia. Biarlah dia nak pertahankan diri dia, semua orang ada pandangan masing-masing’’.
Perdana Menteri, kata Mahfuz lagi, sepatutnya menunjukkan kepada rakyat apakah gagasan baru yang dibawanya serta membuktikan kesungguhannya untuk memerangi rasuah, tertutama di dalam Umno yang masih lagi belum membuat keputusan terhadap aduan berlakunya politik wang dalam mesyuarat agung Umno Bahagian Kubang Pasu walaupun laporan telah dibuat September lalu, di mana ketika itu ibu pejabat Umno menjangka perkara itu dapat diselesaikan dalam masa dua minggu.
Dalam Indeks Demokrasi yang dikeluarkan oleh Economic Intelligence Unit (EIU), The Economist Group yang menerbitkan majalah The Economist, Malaysia berada di tempat tercorot dalam senarai demokrasi terencat kerana penarafan yang rendah dalam penyertaan politik dan kebebasan awam.
Pengarah serantau EIU bagi Asia, Gerard Walsh menyatakan Malaysia mendapat mata yang rendah dalam indikator penyertaan politik kerana penyertaan wanita yang terhad dalam penyertaan politik, yang menurut beliau hanya 10 peratus sahaja, dan sekatan ke atas demonstrasi politik.
"Malaysia mendapat mata yang begitu rendah dalam kategori kebebasan awam. Tiga perkara utama yang membimbangkan ialah penapisan media bercetak, polisi-polisi kerajaan yang lebih mengutamakan orang-orang Melayu dan Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang membenarkan tahanan tanpa bicara daam tempoh yang tidak ditetapkan," katanya.
"Kumpulan-kumpulan pembangkang pula berpecah-pecah dan tidak berkesan," The Sun memetik beliau sebagai berkata.
Malaysia perlu, kata Walsh lagi, perlu menunjukkan kemajuan di dalam memperkembangkan kebebasan umum untuk mencapai tahap demokrasi sepenuhnya dalam Indeks Demokrasi.
Bagaimanapun, indeks demokrasi untuk Malaysia adalah lebih baik dari Singapura yang berada dalam kategori "hybrid regimes," iaitu regim yang mempunyai gabungan ciri-ciri demokrasi dan autoritarianisme dan tidak jelas kedua-dua ciri itu.















