Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

Saturday, May 09, 2009

HARGAI IBU BAPA ANDA !!!

oleh Abu Akhfash

Tiada manusia yang lahir tanpa ibu dan bapa, tapi sejauh mana kita menghargai mereka sepanjang hidup kita?

Allah S.W.T telah memerintahkan kita untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Firman-Nya :


ووصينا الانسان بوالديه حملته أمه وهنا على وهن وفصاله في عامين أن اشكر لي ولوالديك الىّ المصير

وان جاهداك على أن تشرك بي ما ليس لك به علم فلا تطعهما وصاحبهما في الدنيا معروفا واتبع سبيل من أناب الىّ ثم الىّ مرجعكم فأنبئكم بما كنتم تعملون

14. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

15. Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.

(14 & 15 Surah Luqman)

Firman-Nya lagi :

وقضى ربك الا تعبدوا الاّ ايآه وبالوالديه احسانا اما يبلغن عندك الكبر أحدهما أو كلاهما فلا تقل لهما أف ولا تنهرهما وقل لهما قولا كريما

واخفض لهما جناح الذل من الرحمة وقل رب ارحمهما كما ربّيانى صغيرا

23. "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sesekali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

24. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil."

(23 & 24 Surah Al-Isra')

Dalam dua ayat surah LUQMAN dan surah Al-Isra' ini Allah S.W.T telah mewasiatkan serta memerintahkan kita untuk berbakti terhadap ibu bapa. Mereka telah mengandung, melahir dan membesarkan kita dengan sempurna. Malah Allah juga memerintahkan kita supaya menuruti apa sahaja suruhan mereka terutama pada hal dunia. Tetapi tidak boleh menuruti mereka dalam melakukan maksiat kepada Allah. Ini disebut oleh baginda Rasul S.A.W :

لا طاعة لمخلوق في معصية خالق

"Tiada ketaatan kepada makhluk dalam berbuat maksiat kepada Pencipta."

Islam amat menitik beratkan ummatnya berbakti kepada ibu bapa. Malah pahala berbakti dan mentaati mereka melebihi pahala jihad di jalan Allah.

عن أبي عبد الرحمن عبد الله ابن مسعود قال : سألت النبي صلّى الله عليه وسلّم : أىّ العمل أحبّ الى الله ؟ قال : الصلاة في وقتها. قلت : ثم أىّ ؟ قال : برّ الوالدين. قلت : ثمّ أىّ ؟ قال : الجهاد في سبيل الله.

( متفق عليه)

"Daripada Abu Rahman Abdullah bun Mas'ud berkata : Aku telah bertanya kepada Nabi S.A.W, Apakah amalan yang paling disukai Allah ? Baginda menjawab : Solat pada waktunya. Aku bertanya lagi : Kemudian apa? Baginda menjawab : Berbuat baik kepada ibu bapa. Aku bertanya lagi : Kemudian apa? Baginda menjawab : Jihad di jalan Allah."

Dewasa ini anak-anak sering lupa akan keduanya. Mengabaikan dan mensisihkan mereka. Setelah mereka membesar dengan sempurna, mendapat didikan serta pelajaran yang baik, memperolehi kerjaya yang diimpikan. Lalu dua orang tua ini diabaikan. Pelbagai alasan diberikan bagi menyatakan bahawasanya yang kononnya anak-anak ini tiada masa untuk ibu bapa. Mereka lupa yang ketika dahulu tidak pernah kedengaran di telinga, ibu bapa ini "tiada masa untuk anak-anak". Walau mereka terlalu sibuk dan letih tidak pernah terungkap di hadapan anak-anak "kami sibuk, tiada masa". Malah kebanyakan masa dan keringat mereka diperuntukan demi anak-anak tercinta.

Adapula anak-anak yang merasakan diri mereka sudah soleh terhadap ibu bapa. Menelefon mohon redha dan restu setiap kali menjelang peperiksaan, hantar duit kepada mereka pada setiap hujung atau awal bulan. Benarkah ini yang mereka harapkan dari anak-anak? Mungkin ada yang begitu, tapi ketahuilah kebanyakannya tidak. Mereka hanya harapkan perhatian dari anak-anak. Selalu bertanya kabar dan ambil berat. Luangkan masa bersama-sama. Mereka amat rindukan tangis dan ketawa anak-anak. Menangis lalu mereka pujuk. Ketawa lalu mereka ikut tertawa bersama.

Kita selalu mendengar ungkapan "seorang ibu atau bapa mampu menjaga anak yang ramai. Tapi mampukah anak yang ramai ini menjaga keduanya?". Mereka bukan saja menjaga anak-anak dari sudut luaran, malah dalaman juga dijaga. Setiap hati anak-anak dijaga, dilayan semuanya secara adil. Jika tidak, pasti akan ada yang kecil hati dan merajuk. Tapi sejauh manakah anak-anak yang dijaga hatinya ini membalasnya. Dua hati ini tidak mampu dijaga. Sering saja sikap anak-anak ini mengguris hati dan perasaan ibu bapa.

Hargailah mereka sementara nyawa dikandung badan. Sentiasalah bertanya kabar dan luangkanlah masa bersama mereka. Bukanlah balasan wang ringgit yang mereka harapkan, tapi cukuplah doa dan perhatian daripada anak-anak.

---------------------------------------------------------------------------

YA ALLAH, sesungguhnya hamba-Mu ini telah banyak mengguris dan mengecewakan hati Abah & Ummi ku. Sering menggabaikan keduanya. Banyak hak-hak mereka tidak aku lunaskan. YA ALLAH, berikan aku kesempatan untuk berbakti kepada keduanya.

ABAH UMMI, maafkan Man. Maaf sebab tidak menjadi anak dan abang yang baik untuk adik-adik. Ampunkan segala salah dan silap yang telah Man lakukan. Terima kasih atas dokongan, sokongan dan doa kalian sehingga Man berjaya memperolehi segulung ijazah.

YA ALLAH, panjangkan umur dan murahkan rezeki mereka. Permudahkan urusan keduanya di dunia dan akhirat.

Buat UMMI,

SELAMAT HARI IBU

&

SELAMAT HARI GURU

Mei 2009,

Mandara Bahri,

Iskandariah, Mesir.

0 comments: