Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

UMMU Salamah ialah isteri Rasulullah saw yang bijak, setia dan sering menjadi rujukan kepada umat Islam dalam pelbagai hukum pada zaman Nabi Muhammad, Khalifah ar-Rasyidin dan Muawiyah.

Nama sebenarnya ialah Hindun binti Abi Umayah, gadis jelita yang juga anak perempuan seorang pemuka Makkah dari Bani Mughirah.

Selepas berkahwin dengan Abdullah bin Abdul Asad al-Makhzumi atau dikenali Abu Salamah dari Bani Asad, mereka memeluk Islam.

Mereka termasuk dari kalangan Al Sabiqun Al Awwalun (orang pertama) memeluk Islam. Namun, kesukaran hidup di Makkah akibat tekanan puak jahiliah, memaksa keluarga itu berhijrah ke Madinah.

Ketika Ummu Salamah dan Abu Salamah hendak berhijrah ke Madinah, perjalanan mereka dihalang oleh Bani Mughirah dan mereka terpisah. Ummu Salamah dan anaknya dipaksa mengikut Bani Mughirah, manakala suaminya meneruskan perjalanan sendiri ke Madinah.

Bani Asad, yang mengetahui kejadian itu, tidak bersetuju lalu merampas anak pasangan itu, Salamah. Peristiwa itu menyebabkan Ummu Salamah menderita kerana berpisah dengan suami dan anaknya.

Ummu Salamah jatuh sakit. Keluarganya amat bersimpati dengan penderitaannya lalu melepaskannya menjejaki suami di Madinah. Pemergiannya ditemani Salamah yang dipulangkan semula oleh Bani Asad. Ummu Salamah bersama anak kecilnya mengharungi padang pasir yang panas dan tandus. Ketibaan mereka di Madinah disambut linangan air mata suaminya.


Di Madinah, pasangan itu menegakkan kehidupan Islam mereka hingga Abu Salamah syahid dalam Perang Uhud. Selepas suaminya terkorban, Ummu Salamah bernikah dengan Rasulullah.

Kesabaran Ummu Salamah menerima takdir kematian Abu Salamah, membolehkannya mendapat sesuatu yang lebih baik lagi, iaitu Rasulullah sendiri sebagai suami. Sebelum itu, sahabat Nabi, Abu Bakar dan Umar pernah melamarnya, tetapi kedua-duanya ditolak dengan lemah lembut.

Ketika dipinang Rasulullah, Ummu Salamah agak keberatan menerima peminangan itu, dengan berkata : “Aku ini perempuan tua, punya beberapa anak yatim, dan aku juga kuat cemburu.”

Rasulullah bersabda: “Mengenai anak-anak yatim, aku akan menanggung bebannya. Dan kupohonkan ke hadrat Allah supaya melenyapkan rasa cemburu dari hatimu.”

Rasulullah tidak menghiraukan perbezaan usia. Baginda menikahi Ummu Salamah atas dasar mengambil berat balu suhada menegakkan agama Islam dan memelihara dengan sempurna Salamah.

Rasulullah juga sangat menghormati Ummu Salamah. contohnya, apabila selesai solat Asar, Baginda akan mengunjungi rumah Ummu Salamah terlebih dulu kerana dia yang paling tua, disusuli isteri lain satu persatu dan berakhir di rumah Aisyah.

Ummu Salamah pernah ditanya mengenai cara Rasulullah membaca al-Quran. Beliau menjawab : “Rasulullah membaca al-Quran dengan tertib, dan baik serta disebutkan huruf al-Quran itu satu persatu.”

Selain itu, kebijaksanaan Ummu Salamah juga menyebabkan Rasulullah sering mengambil pandangan beliau apabila timbul masalah. Baginda pernah bermusyawarah di mana Ummu Salamah mengemukakan pandangan dan Rasulullah menerimanya dengan rela dan sedar.

Di antaranya, ketika Perjanjian Hudaibiah, di mana Ummu Salamah turut mengiringi Rasulullah ke Makkah. Pada satu hari, ada beberapa umat Islam tidak mengikut arahan Rasulullah iaitu bercukur dan memotong rambut bagi membolehkan mereka segera kembali ke Madinah selepas mengerjakan tawaf dan sai. Baginda menemui Ummu Salamah lalu meminta pendapatnya. Kata Baginda: “Mereka kuperintah, tetapi membangkang.”

Ummu Salamah merasakan masalah itu mudah untuk diatasi. Beliau memberi isyarat kepada Baginda supaya keluar menemui umatnya, kemudian mencukur rambut di depan mereka. Baginda menurut cadangan isterinya dan perbuatannya mencukur rambut sendiri diikuti umat Islam sehinga hari ini. Dengan petunjuk Ummu Salamah, semua Muslimin mengikut suruhan Rasulullah.

Dalam satu hadis mengenai kebaikan ayat Kursi, Fatimah berkata: “Rasulullah, sewaktu Fatimah hampir bersalin, menyuruh Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsy menemui Fatimah. Maka kedua-duanya membaca ayat Kursi dan meminta perlindungan baginya dengan membaca surah al-Falaq dan An-Nas.”

Ummu Salamah juga ditanya mengenai pakaian solat wanita. Beliau menjawab: “Hendaknya dia solat dengan kerudung dan baju kurung panjang yang menutupi kedua-dua telapak kakinya.”

Mengenai hukum aurat lelaki dan perempuan, beliau berkata : “Suatu hari ketika Rasulullah bersama isteri-isteri baginda (Ummu Salamah dan Maimunah), datang seorang sahabat yang buta (Ibnu Maktum). Rasulullah menyuruh kedua-dua isteri Baginda masuk ke dalam rumah. Bertanya Ummu Salamah: “Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami, ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Bukankah kamu dapat melihatnya?”

Mengenai hukum minum arak, Ummu Salamah berkata, Rasulullah bersabda: “Diharamkan semua perkara dan minuman yang memabukkan dan yang melemahkan daya pemikiran seseorang.”

Ummu Salamah wafat pada bulan Zulkaedah tahun 59 atau 62 Hijrah sewaktu berumur 84 tahun dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’, Madinah.

0 comments: